Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sentiasa memberikan keutamaan terhadap sektor pertanian di Sarawak.

Menurut menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, faktor itu didorong oleh keupayaan selain kelebihan kawasan tanah yang lebih luas di negeri itu.

"Tanah yang luas dan cukup besar dan jumlah penduduk masih kecil sesuai untuk menjadikan Sarawak sebagai sebuah negeri pertanian aset negara yang terbesar," kata Ahmad Shabery.

Bagaimanapun, beliau akui faktor iklim juga antara cabaran besar yang sering dihadapi.

"Apa sahaja cadangan atau jenis tanaman untuk mengkomersialkan sektor pertanian yang ada di Sarawak perlu dikaji mengikut pelbagai faktor lebih-lebih lagi daripada segi jumlah taburan hujan yang tinggi," katanya.

Beliau ditemui pada majlis pelepasan bagi 1,000 induk udang harimau, 10 ekor induk ikan siakap dan 1,000 benih ikan siakap bersaiz 4 hingga 6 inci di Terminal Penumpang Sebuyau pada Selasa.

Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.