Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof. Madya Dr. Jeniri Amir bersara hari ini selepas 19 tahun menabur bakti kepada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) itu.

Hari-hari terakhir Dr Jeniri dikongsi Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial UNIMAS, Profesor Madya Dr Ahi Sarok menerusi kemas kini di laman Facebooknya, hari ini.

Dalam status tersebut, Dr Ahi turut mengimbau detik pengenalan beliau, selain mengucapkan selamat maju jaya kepada sahabat baiknya itu.

“Saya telah mengenali beliau sebagai seorang Sarjana yang sangat baik semasa Pengajian Komunikasi Politik dan Pengajian Media, Pengucapan Awam dan Bahasa Melayu.

“Dari tahun 2002 hingga 2006, kami menghabiskan masa selama tiga tahun untuk melengkapkan pengajian di peringkat Ijazah Kedoktoran (PhD) di Universiti Malaya,” katanya.

Jelas beliau, sejak dari itu persahabatan mereka menjadi lebih erat dan banyak kajian dilakukan bersama.

“Dr Jeniri sememangnya sahabat dan abang saya. Kami menjelajah ke seluruh negeri ini pada tahun 2017 sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

“Beliau gemar menganalisis politik dan seorang penulis profilik. Beliau banyak menulis buku mengenai politik Sarawak, biografi pemimpin-pemimpin terkemuka Sarawak, Pengajian Awam dan Kajian Media,” ujarnya.

Untuk rekod, Dr Jeniri sering dijemput oleh media tempatan untuk membicarakan pelbagai isu politik terutama semasa Pilihan raya kecil Sarawak 2001.

Beliau pernah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Buku Sarawak 2016.

Dr Jeniri, 60, diiktiraf sebagai penulis paling prolifik di Sarawak dan telah menghasilkan lebih 50 judul buku dan lebih 2000 artikel dalam pelbagai bidang dan genre.