SHAH ALAM: Selangor membenarkan pelaksanaan solat sunat Aidiladha pada pagi 20 Julai ini dengan kapasiti 50 jemaah termasuk pentadbirnya di masjid-masjid negeri ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal negeri Mohd Zawawi Ahmad Mughni menerusi hantaran dalam Facebooknya memaklumkan kebenaran tersebut turut diberikan kepada surau untuk mengadakan solat Jumaat dengan kapasiti 40 jemaah termasuk pentadbir.

Mohd Zawawi berkata kategori masjid yang dibenar melaksanakan solat sunat Aidiladha ialah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah; Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong; Masjid Raja Fi Sabilillah Cyberjaya; masjid pengurusan; institusi dan kariah manakala surau kariah tidak dibenarkan melaksanakan solat sunat berkenaan.

"Pentadbir masjid dan surau kebenaran solat Jumaat hanya dibenarkan menjemput jemaah yang merupakan ahli kariahnya dan mereka sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin," katanya menerusi Facebook @Zawawi Mughni, hari ini.

Mohd Zawawi berkata umat Islam di negeri ini disarankan untuk melakukan solat sunat di rumah mereka susulan ketetapan mengehadkan bilangan jemaah dan panduan ringkas pelaksanaan solat sunat berkenaan boleh didapati dalam laman sesawang, Facebook dan Instagram rasmi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Selain itu katanya, aktiviti menziarahi tanah perkuburan dan takbir hari raya dari rumah ke rumah adalah tidak dibenarkan dalam usaha membendung penularan COVID-19.

-- BERNAMA