Kerajaan Selangor mengumumkan larangan menghisap rokok dan vape serta minum arak di semua taman permainan dan rekreasi di seluruh negeri ini berkuat kuasa serta-merta.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru negeri, Ng Sze Han berkata larangan itu dibuat selepas kerajaan negeri meluluskan pindaan Undang-Undang Kecil Taman 2005 Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor (UKK Taman 2005).

"Kerajaan Selangor meluluskan untuk menambah aktiviti meminum arak dan merokok termasuk vape ke dalam senarai kesalahan UKK Taman 2005.

"Sebelum ini, senarai kesalahan di UKK Taman tidak menyatakan aktiviti meminum arak dan menghisap rokok sebagai aktiviti yang dilarang,'' katanya kepada pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, pada Selasa.

Beliau berkata berikutan penguatkuasaan larangan itu, Selangor menjadi negeri pertama di Malaysia yang melarang meminum arak, menghisap rokok dan vape di taman permainan dan rekreasi.

Ng berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) diarah melakukan pemantauan dan mana-mana pihak yang dikesan melanggar peraturan itu boleh didenda sebanyak RM1,000 bagi setiap kesalahan.

"Demi keselesaan dan kesihatan para pengunjung terutamanya kanak-kanak dan warga emas untuk beriadah, bersukan dan melakukan aktiviti kekeluargaan lebih-lebih lagi semasa pasca-COVID-19, tiba masanya untuk kita melarang perbuatan meminum arak dan merokok di taman permainan dan rekreasi.

"Orang awam yang melihat perbuatan ini juga boleh menyalurkan aduan mereka kepada PBT di kawasan masing-masing supaya tindakan susulan ke atas pihak berkenaan dapat dibuat,'' katanya.

-- BERNAMA