Selangor memusnahkan rekod tanpa kalah Pahang selepas mencatat kemenangan tipis 3-2 di Shah Alam dalam perlawanan bola sepak Liga Super malam tadi.

Pemain gantian, Ramzul Zahini Adnan muncul wira pasukan Gergasi Merah dengan gol kemenangan di babak kedua.

Tuan rumah hanya memerlukan tiga minit untuk berada di depan menerusi Amri Yahyah.

Dia bijak memanfaatkan hantaran Solihin Kanasiah untuk menewaskan Nasril Nordin di gawang Pahang.

Masuk minit ke-20, Amri sekali lagi cemerlang dengan menggandakan pendahuluan Selangor.

Kali ini, dia menyempurnakan hantaran Raimi Mohd Nor dari sebelah kiri padang.

Pahang bagaimanapun tidak mengalah dan merapatkan jurang hasil tandukan Fauzi Ruslan pada minit ke-24.

Skuad Tok Gajah itu kemudian mendapat sepakan penalti lewat babak pertama selepas R. Surendren dijatuhkan Fairuz Aziz.

Bekas pemain Selangor, Razman Roslan tenang menyempurnakan sepakan bagi mengikat kedudukan dua-sama.

Permainan terus rancak di babak kedua.

Selangor bagaimanapun lebih unggul apabila Ramzul menanduk masuk hantaran Shukor Jusoh untuk gol kemenangan tuan rumah.