SEPANG: Kerajaan Negeri Selangor memantau rapi kapasiti bekalan air dan elektrik susulan perkembangan pesat pusat data di negeri itu, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata kerajaan negeri tidak akan meluluskan projek pusat data tanpa memastikan bekalan air dan elektrik yang mencukupi semasa kebimbangan orang ramai semakin meningkat terhadap keperluan sumber industri itu.
“Kami amat sedar kebimbangan orang ramai berkaitan bekalan elektrik dan air, dan kami sedang memantau perkara ini dengan rapi.
“Tanpa bekalan air yang mencukupi, sudah tentu pusat data tidak boleh diluluskan di Selangor,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis penyerahan pemilikan kosong Fasa 1 Taman Perindustrian Pintar NCT (NSIP) di sini hari ini.
Amirudin berkata demikian berhubung pengumuman NCT Alliance Bhd telah menandatangani lembaran terma bagi cadangan penjualan tanah seluas kira-kira 40.47 hektar di NSIP untuk pembangunan pusat data yang boleh menyokong kapasiti sehingga 800 megawatt (MW).
Beliau berkata setiap permohonan pusat data perlu mendapatkan kelulusan daripada Pasukan Petugas Pusat Data Persekutuan dengan keperluan bekalan elektrik perlu diluluskan Tenaga Nasional Bhd (TNB) manakala bekalan air oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).
Beliau berkata kerajaan negeri yakin kapasiti bekalan air akan mencukupi, terutamanya menerusi Skim Bekalan Air Rasau yang dijangka menyediakan tambahan 350 juta liter sehari (JLH) manakala kapasitinya boleh mencapai 700 JLH apabila fasa pertama siap.
Selain itu, Amirudin berkata kerajaan negeri menggalakkan pengusaha pusat data menggunakan sistem kitar semula air dan teknologi yang boleh mengurangkan penggunaan air bagi tujuan penyejukan.
“Kami menggalakkan kitar semula air supaya air yang telah diproses tidak dibuang sebaliknya dikitar semula dalam setiap pusat data,” katanya.
Amirudin berkata perkembangan pesat pusat data juga boleh menjana manfaat ekonomi yang lebih luas dengan menyokong pembangunan sektor elektrik dan elektronik (E&E), cip serta semikonduktor.
Beliau berkata Selangor turut memperkenalkan dasar 30 peratus bagi memastikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendapat manfaat daripada operasi pusat data di negeri itu.
-- BERNAMA