KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Selangor akan meneruskan ujian saringan secara besar-besaran di peringkat komuniti menerusi peruntukan RM10.7juta di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.

Menerusi Ujian Saringan COVID-19 Komuniti Fasa 3, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata pihaknya menyasarkan 100,000 saringan di seluruh negeri itu.

"Fasa Ketiga akan berasaskan dua strategi berdasarkan dapatan Fasa Pertama dan Fasa Kedua, iaitu penumpuan kepada kawasan hotspot kes COVID-19 dan kawasan industri serta kilang.

"Ramai yang berpendapat bahawa Kerajaan Negeri harus memfokuskan kepada usaha vaksinasi berbanding saringan.

"Namun, Kerajaan Negeri berpendapat bahawa usaha ujian saringan harus dilaksanakan serentak sehingga ‘herd immunity’ dicapai," katanya ketika pembentangan pakej itu secara maya pada Rabu.

Saringan COVID-19 | Ujian fasa tiga diteruskan


Mengulas lanjut, Amirudin memaklumkan, sehingga 8 Jun 2021, seramai 117,314 individu telah menjalani ujian saringan COVID-19 Fasa Dua.