SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan mempertimbang untuk memperluaskan Program Pemberian Bantuan Secara Baucar untuk Rakyat Miskin Bersempena Perayaan (Program Jom Shopping) bagi perayaan Krismas.

Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan negeri V. Papparaidu berkata setakat ini, pemberian baucar hanya dilaksanakan kepada tiga perayaan utama iaitu Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali.

"Kami telah digariskan hanya tiga perayaan utama untuk setakat ini. Sekiranya ada permintaan atau cadangan daripada Dewan yang mulia ini, mungkin kami akan pertimbang melalui mesyuarat jawatankuasa negeri (Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau MMKN) dan bakal kemukakan (cadangan itu) untuk dapatkan kebenaran.

"Dalam lingkungan ketiga-tiga perayaan ini, biasanya bagi masyarakat Cina yang beragama Kristian mereka akan menerima baucar pada Tahun Baharu Cina dan bagi golongan India yang beragama Kristian kami juga memberi mereka (baucar) pada sambutan Deepavali," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Dr Quah Perng Fei (PH-Bandar Baru Klang) berhubung cadangan untuk menambah perayaan Krismas ke dalam Program Jom Shopping pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Dalam pada itu, Papparaidu berkata kerajaan negeri juga bersetuju meningkatkan nilai bantuan beli-belah daripada RM100 kepada RM200 iaitu menambah baik syarat pendapatan penerima dengan had isi rumah penerima ditingkatkan daripada RM2,000 kepada RM3,000.

Program Jom Shopping merupakan program bantuan yang dilaksanakan Kerajaan Negeri secara tahunan sejak 2012 bersempena tiga perayaan utama iaitu Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali dengan setiap keluarga yang kurang berkemampuan akan diberikan baucar untuk pembelian barangan keperluan di pasar raya terpilih.

-- BERNAMA