Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Selangor peruntuk RM100,000 bantu isteri, anak teraniaya isu nafkah

SHAH ALAM, 29 April -- Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, Anfaal Saari (kiri), pada sidang media mengenai analisis serta strategi mitigasi impak krisis Asia Barat terhadap usahawan dan pemberdayaan ekonomi wanita di Wisma Dewan Negeri Selangor hari ini.  Kerajaan Negeri Selangor menggariskan lima resolusi bagi membantu 45,993 usahawan wanita menghadapi cabaran semasa susulan gangguan bekalan global akibat konflik di Asia Barat.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Anfaal berkata bantuan kewangan sementara berkenaan dianggarkan bakal memberi manfaat kepada sehingga 50 keluarga yang terjejas sementara proses penguatkuasaan undang-undang dijalankan. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor memperuntuk RM100,000 bagi pelaksanaan Program Bantuan Nafkah Rahmah Selangor 2026 dalam memperkukuh perlindungan sosial serta kebajikan wanita dan kanak-kanak yang teraniaya akibat penghutang penghakiman syariah. 

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat negeri Anfaal Saari berkata bantuan kewangan sementara berkenaan dianggarkan bakal memberi manfaat kepada sehingga 50 keluarga yang terjejas sementara proses penguatkuasaan undang-undang dijalankan.

Beliau berkata penyaluran bantuan secara one-off itu dilaksanakan mengikut kadar ditetapkan Jawatankuasa Pentadbiran Akaun Amanah Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS), iaitu RM2,000 bagi isteri dan RM1,000 bagi setiap anak.

“Inisiatif ini dilaksanakan menerusi JAKESS bagi membantu wanita dan anak-anak yang mempunyai perintah nafkah daripada Mahkamah Syariah tetapi gagal menerima bayaran daripada penghutang penghakiman. 

“Kerajaan negeri ingin menegaskan bahawa naratif utama Bantuan Nafkah Rahmah ini adalah untuk menyalurkan kelegaan sementara kepada wanita dan kanak-kanak yang teraniaya, dan bukannya sebagai pengganti kewajipan bagi pihak yang sepatutnya bertanggungjawab menyediakan nafkah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Anfaal berkata syarat serta kriterika kelayakan ialah pemohon beragama Islam dan bermastautin di Selangor, pendapatan isi rumah bawah RM5,000 sebulan, mempunyai perintah nafkah Mahkamah Syariah yang masih berkuat kuasa tetapi culas atau gagal dibayar oleh pihak penghutang.

Selain itu, pemohon juga perlu memenuhi syarat serta kriteria yang ditetapkan di bawah Garis Panduan Penyaluran Pendahuluan dan Bantuan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga (BSK), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Beliau berkata mana-mana individu yang memenuhi kriteria kelayakan boleh mengemukakan permohonan dengan hadir secara terus ke pejabat JAKESS menerusi BSK bagi menyemak kelayakan serta menyerahkan borang permohonan.

“Kerajaan negeri kekal bersiap siaga memastikan pemeliharaan hak kebajikan wanita dan anak-anak terus terbela serta tidak terabai di negeri ini.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri menggesa bekas suami dan bapa untuk tidak lepas tangan serta mengambil tanggungjawab sepenuhnya dalam melunaskan nafkah yang telah diperintahkan oleh Mahkamah Syariah demi kelangsungan hidup dan masa depan anak-anak,” katanya.

-- BERNAMA 

Must Watch Video

Advertisement