Kerajaan Selangor menganggarkan perbelanjaan negeri berjumlah RM2.88 bilion untuk tahun 2016 bagi melaksanakan perancangan dan agenda kerajaan negeri.

Menteri besarnya, Mohamed Azmin Ali berkata ia adalah peruntukan yang mengkhusus kepada perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan.

Azmin berkata jumlah kutipan hasil negeri itu juga dijangka akan meningkat 14.2 peratus kepada RM2.25 bilion ringgit pada 2016.

"Daripada jumlah tersebut, RM1.4 bilion adalah bagi peruntukan perbelanjaan mengurus dan selebihnya, RM1.4 bilion lagi bagi perbelanjaan pembangunan," kata Azmin pada pembentangan Belanjawan Selangor 2016 di Dewan Undangan Negeri Selangor, di sini.

Katanya lagi, pentadbiran Kerajaan Selangor juga menganggarkan jumlah defisit yang dihasilkan ialah sebanyak RM630 juta

Pada pembentangan Belanjawan 2016 Negeri Selangor yang bertema 'Membangun Smart Selangor Yang Peduli,' Azmin mengemukakan strategi belanjawan yang menumpukan negeri itu ke arah Smart State.

Ia akan diusahakan dengan mewujudkan persekitaran teknologi maklumat yang mempengaruhi gaya hidup masyarakat.