SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor menyasarkan pembinaan sebanyak 200,000 unit rumah mampu milik menerusi dasar Rumah Selangorku Harapan dan Idaman di bawah Rancangan Selangor kedua (RS-2).
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, inisiatif berkenaan juga bertujuan menyantuni rakyat Selangor yang belum memiliki rumah.
“Sehingga kini, sebanyak 64,188 unit telah siap, manakala 69,014 unit sedang dibina dengan jumlah keseluruhan 133,202 unit,” katanya ketika mengumumkan RS-2 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga bercadang meningkatkan jumlah unit rumah sewa di bawah Skim Smart Sewa kepada 3,000 unit menjelang 2030 bagi mereka yang belum mampu untuk membuat pinjaman bank.
Katanya, 30 peratus daripada bayaran sewa setiap bulan akan disimpan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan dipulangkan kepada penyewa untuk digunakan sebagai bayaran pendahuluan apabila mereka bersedia membeli rumah kelak.
“Dari sudut menangani kos sara hidup, kerajaan negeri akan membangunkan Indeks Kehidupan Bermaruah Selangor yang merangkumi garis ukur pelbagai dimensi selaras dengan cabaran kehidupan di kawasan bandar.
“Pembangunan indeks ini yang akan digerakkan melalui kerangka pembangunan unit statistik baharu negeri akan meneliti keberkesanan program bantuan dan sokongan isi rumah dan dinilai setiap 12 dan 24 bulan untuk menyemak perkembangan kehidupan penerima bantuan negeri,” katanya.
Sementara itu, Amirudin berkata, menerusi Selangor Mobility, pentadbirannya akan menyesuaikan semula pelaksanaan Demand Responsive Transit (DRT) agar ia dapat difokuskan untuk menggerakkan rakyat ke kawasan komersial.
Beliau berkata, kekerapan pengangkutan awam juga akan ditingkatkan untuk membawa penumpang ke stesen LRT dan MRT selain pihaknya juga sedang melihat untuk merealisasikan visi walkable cities di Selangor membabitkan pembinaan pejalan kaki berbumbung di setiap stesen.
“Tambahan kepada itu, kerajaan negeri turut akan mewajibkan satu hentian bas di setiap kawasan Rumah Selangorku Harapan dan Idaman. Langkah ini agar pembeli rumah mampu milik turut dapat menggunakan pengangkutan awam.
“Perancangan dan pelarasan ini perlu menerapkan penggunaan teknologi untuk meneliti tempat trafik paling tinggi, kawasan penumpuan awam serta pemetaan setiap taman perumahan di Selangor untuk menilai keperluan hentian bas kecil di kawasan perumahan,” katanya.
-- BERNAMA