MALAYSIA
Selangor sediakan bantuan sebaik sukarelawan GSF pulang ke tanah air

Amirudin (kiri) ketika sidang media bersama Sani Araby (kanan) selepas mengikuti perkembangan terkini Misi Global Sumud Flotila Sumud Nusantara di SNCC, Sepang, 3 Okt 2025. --fotoBERNAMA
SEPANG: Kerajaan Selangor akan menyediakan beberapa bantuan sebagai tanda sokongan kepada delegasi Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) sebaik mereka pulang ke tanah air, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata, bantuan itu termasuk penggunaan hotel milik kerajaan negeri sebagai pusat persediaan dan transit delegasi Malaysia, selain peruntukan RM1 juta kepada Pusat Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MIHC) bagi memperkukuh peranan pusat itu dalam melaksanakan misi kemanusiaan di Gaza serta menangani bencana di dalam negara.
"Sebahagian daripada sumbangan ini boleh digunakan segera untuk persediaan mereka sebaik tiba di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur).
"Kita mahu pastikan pasukan flotila diberi sambutan dan sokongan rapi, bukan sahaja dari segi fizikal, tetapi juga kualiti persediaan dan strategi," katanya pada sidang media selepas melakukan tinjauan di Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC), di sini, malam tadi.Terdahulu, Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, kesemua 23 peserta GSF yang kini ditahan Israel, dijangka diterbangkan dari Ashdod dalam tempoh 48 jam.
Sani Araby berkata, perkembangan baik itu susulan usaha berterusan yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku penaung Sumud Nusantara dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara, termasuk Malaysia belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan berterusan rejim Zionis.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami