SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pendidikan dan Modal Insan memperuntukkan dana berjumlah RM3.5 juta bagi pelaksanaan Geran Pembangunan Negeri Selangor (SELidik) 2026.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata SELidik yang merupakan transformasi daripada Geran Penyelidikan Negeri Selangor (GPNS) 2024 itu membabitkan skop penyelidikan lebih luas dalam menyokong agenda pembangunan berteraskan pengkhususan strategik Rancangan Selangor Kedua (RS-2).
"Kos keseluruhan SELidik 2026 berjumlah RM3.5 juta, jadi RM2.5 juta kita sediakan untuk dua universiti di bawah Kerajaan Negeri Selangor, iaitu Universiti Islam Selangor (UIS) dan juga Universiti Selangor (UNISEL).
"Menerusi fasa pertama, kedua-dua universiti milik kerajaan negeri itu bakal menghasilkan pelbagai hasil penyelidikan seperti modul, aplikasi dan prototaip," katanya pada sidang media selepas sesi penyerahan tawaran geran berkenaan di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.
Amirudin berkata pengambilan fasa kedua pula bakal memperluas penglibatan dan daya inovasi para penyelidik menerusi pelbagai institusi pendidikan awam lain di seluruh negara dengan pertambahan RM1 juta untuk universiti-universiti tempatan di seluruh Selangor.
Dalam pada itu, beliau berkata inisiatif di bawah kelolaan Yayasan Selangor selaku agensi pelaksana utama itu juga dijangka memberikan pulangan pelaburan dari segi pembangunan ekonomi, kecemerlangan ilmu serta pemerkasaan modal insan.
Amirudin berkata hasil kajian yang dijalankan menerusi program SELidik turut dipetakan terus kepada jawatankuasa tetap berkaitan supaya dapat dimanfaatkan secara langsung oleh pembuat keputusan negeri.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata pihaknya berkemungkinan akan mempertimbangkan penglibatan universiti antarabangsa sekiranya terdapat lebihan peruntukan pada masa akan datang.
"Syarat permohonan terbuka kepada penyelidik tempatan dengan keperluan menetapkan agar setiap kajian dihubungkan secara langsung dengan enam tema utama dalam RS-2 serta jabatan yang terbabit.
"Banyak kajian yang dilaksanakan sebelum ini meliputi sektor pertanian, penyelidikan, pembangunan inovasi dan banyak lagi. Ia akan dihubungkan terus dengan dasar-dasar yang dibentuk diikuti dengan program-program yang akan dilaksanakan kerajaan negeri," katanya.
Kerajaan Negeri Selangor pada 7 Ogos lepas mengumumkan RS-2, iaitu rancangan ekonomi 2026-2030 yang menggariskan enam misi dalam 25 bidang dengan sasaran nilai ekonomi RM600 bilion sepanjang tempoh berkenaan.
Keenam-enam misi itu ialah Memacu Kepimpinan Ekonomi Selangor; Pembangunan Seimbang dan Peluang Saksama Merentasi Daerah; Negeri Penyayang dan Berdaya Huni; Modal Insan Produktif dan Inklusif; Negeri Lestari Berdaya Tahan dan Strategik; serta Kerajaan Efektif, Mesra Rakyat dan Perniagaan.
-- BERNAMA