SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor akan menumpukan kepada aspek kebajikan golongan muda dan warga emas dalam Belanjawan Selangor 2027 yang dijangka dibentangkan pada Nov ini.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata walaupun negeri itu terus memperkukuh ekonomi dan menarik pelaburan, kebajikan golongan berkenaan perlu diberi perhatian bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati mereka secara adil.
"Sebenarnya, golongan muda dan warga emas adalah kelompok yang menjadi perhatian khususnya cabaran menjelang negeri menua dalam tempoh terdekat selain isu jangka hayat serta kadar kelahiran rendah.
"Ini bukan saja memberi tekanan kepada kelompok produktif malah sebagai isyarat kepada kita supaya dua golongan ini betul-betul dijaga dan menerima manfaat pada masa depan," katanya.
Amirudin berkata demikian dalam ucapan merumuskan hasil perbincangan berkaitan inti pati Belanjawan Selangor 2027 pada sesi libat urus di Pusat Dagangan Antarabangsa Selangor (STIC) di sini pada Jumaat.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dan barisan exco kerajaan negeri.
Mengulas mengenai kos sara hidup ketika ini, Amirudin berkata Selangor dikenali sebagai negeri yang mempunyai pelbagai program sokongan antaranya Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) untuk membantu rakyat dalam isu berkenaan.
"Cabaran kita pada masa kini adalah bagaimana semua sokongan dan program itu memberi makna serta menyelesaikan isu-isu berkaitan secara lebih tepat.
"Kita pernah melaksanakan beberapa kaedah antaranya pemberian bantuan secara terus seperti barangan dan wang tunai selain program peningkatan kemahiran serta ilmu," katanya.
Dalam pada itu, Amirudin berkata kerajaan negeri juga akan meneliti sokongan bagi membantu petugas kesihatan termasuk doktor di hospital di Selangor yang berdepan isu tekanan.
Beliau berkata kerajaan negeri akan melihat potensi kolej perubatan Universiti Selangor (UNISEL) bagi membantu memenuhi keperluan hospital awam di negeri berkenaan.
-- BERNAMA