Skip to main content

Malaysia

Selepas 28 tahun berkhidmat, Zulkifli tinggalkan legasi reformasi pentadbiran Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 1 Ogos -- Selepas lebih 28 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pulau Pinang Datuk Seri Zulkifli Long bakal menamatkan tugasnya esok dengan meninggalkan pelbagai pembaharuan dalam pentadbiran negeri.  Sepanjang kerjayanya, beliau berkhidmat di pelbagai jabatan termasuk pejabat daerah, pentadbiran tanah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Unit Perancang Ekonomi Negeri serta Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian
Zulkifli tidak pernah bercita-cita untuk menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri kerana menyangka kerjayanya akan berakhir di Jabatan Agama Islam Pulau Pinang, iaitu tempat beliau memulakan kerjaya selepas memperoleh Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari UIAM. --fotoBERNAMA
Advertisement

GEORGE TOWN: Selepas lebih 28 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pulau Pinang Datuk Seri Zulkifli Long bakal menamatkan tugasnya pada esok dengan meninggalkan pelbagai pembaharuan dalam pentadbiran negeri.

Pembaharuan itu termasuk usaha mempercepat penyampaian perkhidmatan dan mengurangkan kerenah birokrasi.

Bagaimanapun, bagi Zulkifli, 60, yang berasal dari Tok Bedu, Tasek Gelugor di Seberang Perai Utara (SPU), perjalanan kerjayanya bukan sesuatu yang dirancang sejak awal.

Beliau tidak pernah bercita-cita untuk menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri kerana menyangka kerjayanya akan berakhir di Jabatan Agama Islam Pulau Pinang, iaitu tempat beliau memulakan kerjaya selepas memperoleh Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

“Namun, Allah mengatur perjalanan yang berbeza dan kerana berkat doa kedua ibu bapa saya. Saya memohon pegawai tadbir dan diplomatik sebelum diterima dan memulakan tugas di daerah SPU, iaitu kampung halaman saya," katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama Bernama di pejabatnya.

Sebelum melanjutkan pengajian di UIAM, beliau mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Agama Wilayah Persekutuan selepas meninggalkan kampung halaman untuk menyambung persekolahan di Kuala Lumpur.

Sepanjang kerjayanya, Zulkifli berkhidmat di pelbagai jabatan termasuk pejabat daerah, pentadbiran tanah, Jabatan Agama Islam Pulau Pinang, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Unit Perancang Ekonomi Negeri dan Jabatan Pengarah Tanah dan Galian sebelum dilantik menerajui pentadbiran negeri.

Image
GEORGE TOWN, 1 Ogos -- Selepas lebih 28 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pulau Pinang Datuk Seri Zulkifli Long bakal menamatkan tugasnya esok dengan meninggalkan pelbagai pembaharuan dalam pentadbiran negeri.  Sepanjang kerjayanya, beliau berkhidmat di pelbagai jabatan termasuk pejabat daerah, pentadbiran tanah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Unit Perancang Ekonomi Negeri serta Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian
--fotoBERNAMA

Beliau berkata setiap penempatan memberikan pengalaman berbeza yang membentuk pemahamannya mengenai fungsi sebenar tugas perkhidmatan awam, yang bukan sekadar memastikan prosedur dipatuhi, sebaliknya mencari jalan agar sesuatu urusan boleh dipermudah tanpa mengabaikan undang-undang.

"Saya sendiri pernah merasai pengalaman menjadi "orang biasa" apabila berurusan di sebuah pejabat daerah bagi menguruskan urusan tanah milik arwah ibu mentua," katanya.

Beliau berkata walaupun memahami selok-belok pentadbiran tanah, layanan yang diterima ketika itu mengecewakannya serta hanya selepas pegawai bertugas mengetahui siapa dirinya, urusan menjadi lebih mudah dan peristiwa itu meninggalkan kesan mendalam.

Zulkifli yang mengangkat sumpah sebagai SUK Pulau Pinang pada 11 Sept 2024 berkata pengalaman itu menjadi antara pemangkin kepada pelaksanaan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) di Pulau Pinang, yang memberikan penekanan kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap tanpa menjejaskan aspek integriti dan pematuhan kepada undang-undang.

Beliau memperkenalkan pendekatan kerja berteraskan "volume, security and speed", iaitu meningkatkan jumlah kerja yang dapat diselesaikan, memastikan keselamatan serta integriti proses dan mempercepat tempoh penyampaian.

Melalui pendekatan itu, tempoh kelulusan beberapa proses pembangunan berjaya dipendekkan daripada 108 hari kepada sekitar 36 hingga 38 hari, sekali gus inisiatif RKB yang dilaksanakan kerajaan negeri turut menghasilkan penjimatan kos pematuhan melebihi RM2.4 bilion bagi projek pembangunan yang telah disiapkan setakat ini.

Beliau berkata usaha transformasi turut melibatkan sistem pentadbiran tanah apabila pelbagai urusan seperti permohonan, pembayaran dan penyerahan dokumen didigitalkan menerusi sistem e-Tanah, sebelum Pulau Pinang menyertai pembangunan e-Tanah 2.0 yang dijangka beroperasi pada 2028.

Image
GEORGE TOWN, 1 Ogos -- Selepas lebih 28 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pulau Pinang Datuk Seri Zulkifli Long bakal menamatkan tugasnya esok dengan meninggalkan pelbagai pembaharuan dalam pentadbiran negeri.  Sepanjang kerjayanya, beliau berkhidmat di pelbagai jabatan termasuk pejabat daerah, pentadbiran tanah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Unit Perancang Ekonomi Negeri serta Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian
--fotoBERNAMA

Dalam tempoh beliau menerajui pentadbiran negeri, Pulau Pinang turut mencatat sejarah apabila hasil kerajaan negeri buat kali pertama melepasi RM1 bilion pada 2025, malah walaupun bajet dibentangkan dengan jangkaan defisit, akaun negeri akhirnya ditutup dengan lebihan hampir RM200 juta hasil peningkatan kutipan dan kawalan perbelanjaan yang lebih berdisiplin.

Zulkifli berkata semakan kadar cukai tanah yang tidak dikaji sejak 1994 adalah antara keputusan sukar yang perlu dibuat, namun langkah itu penting bagi memastikan sistem percukaian lebih adil dan selaras dengan nilai semasa.

Mengulas mengenai cabaran sepanjang menerajui pentadbiran negeri, beliau berkata aspek paling sukar bukan memperkenalkan sistem baharu, sebaliknya mengubah budaya kerja dalam kalangan hampir 8,000 penjawat awam negeri yang memerlukan masa dan kesabaran kerana ia melibatkan perubahan cara berfikir serta sikap terhadap penyampaian perkhidmatan.

"Walaupun kita tidak senang, amalkan sikap menyenangkan orang, walaupun kita susah, jangan menyusahkan orang," katanya, mengulangi prinsip yang menjadi pegangannya sepanjang berkhidmat.

Sepanjang kerjaya, beliau turut terlibat dalam pengurusan pelbagai bencana termasuk operasi pascatsunami pada 2004 ketika berkhidmat di SPU, banjir besar Pulau Pinang pada 2017 serta beberapa kejadian tanah runtuh dan bencana lain.

Zulkifli berkata beliau mahu meluangkan lebih banyak masa bersama isteri, dua anak dan seorang cucu serta mempertimbangkan untuk menulis buku mengenai perjalanan hidup dan kerjayanya selain menegaskan tidak bercadang menyertai politik kerana lebih selesa bekerja berpandukan prosedur serta undang-undang.

Sementara itu, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pelbagai projek berimpak tinggi berjaya dirancang dan direalisasikan hasil kepimpinan Zulkifli yang cekap, berintegriti, berdisiplin serta sentiasa mengutamakan ketepatan dan keberkesanan dalam pelaksanaan.

“Bagi pihak kerajaan negeri dan seluruh rakyat Pulau Pinang, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Zulkifli atas segala jasa, pengorbanan dan khidmat bakti yang telah dicurahkan demi kemajuan serta kesejahteraan negeri,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement