NEW DELHI: Kakitangan Suruhanjaya Tinggi Malaysia dan keluarga mereka menyambut Hari Raya Aidilfitri di New Delhi pada Selasa dalam suasana 'normal', selepas pandemik yang melanda sejak lebih dua tahun mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan.

Eksekutif syarikat, pelajar dan rakyat Malaysia pelbagai kaum yang menetap di New Delhi turut bersama-sama menyertai "rumah terbuka" yang menyajikan pelbagai juadah enak.

"Ini adalah perhimpunan pertama yang kami anjurkan dalam tempoh hampir tiga tahun. Bilangan tetamu adalah terhad tetapi tahun ini kami dapat menyambut Aidilfitri dalam suasana 'normal'," kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India Datuk Hidayat Abdul Hamid.

Pesuruhjaya Tinggi Brunei Darussalam ke India, Datuk Paduka Alaihuddin Taha, dan diplomat Brunei yang lain turut menyertai rakyat Malaysia yang lain menunaikan solat sunat Aidilfitri.

"Rumah terbuka kami hari ini disertai rakyat Malaysia daripada pelbagai komuniti. Kami berharap situasi pandemik akan bertambah baik dan keadaan kembali "normal" tidak lama lagi untuk membolehkan kami lebih banyak berinteraksi dengan komuniti di New Delhi," kata Hidayat.

-- BERNAMA