Skip to main content

Malaysia

'Selepas hampir empat tahun, Anwar terbukti mampu kekalkan kestabilan negara' - Penganalisis

Anwar Ibrahim
Demi memastikan kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi negara terus terpelihara, Anwar berusaha mengimbangi kepentingan setiap parti komponen dalam Kerajaan MADANI sehingga berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri sehingga kini. - Gambar Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Keupayaan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengekalkan kestabilan Kerajaan Perpaduan sejak mengambil alih pentadbiran negara pada November 2022 membuktikan beliau mempunyai kepimpinan yang mampu mengurus pelbagai parti dalam satu gabungan kerajaan.

Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dr Norhudi’in Danu berkata, bukan sesuatu yang mudah untuk memastikan keharmonian dalam kerajaan yang dianggotai pelbagai parti, termasuk Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini merupakan seteru politik utama Pakatan Harapan (PH).

Menurut beliau, demi memastikan kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi negara terus terpelihara, Anwar berusaha mengimbangi kepentingan setiap parti komponen dalam Kerajaan MADANI sehingga berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri sehingga kini.

“Sejarah membuktikan negara pernah menyaksikan pertukaran tiga Perdana Menteri dalam tempoh satu penggal Parlimen susulan ketidaktentuan politik dan pembentukan kerajaan campuran.

“Jika dilihat daripada perspektif itu, Anwar merupakan satu-satunya pemimpin yang berjaya mengekalkan kestabilan kerajaan tanpa berdepan ancaman serius terhadap kedudukannya sejak memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seremban, Dr Mazlan Che Soh berpandangan bahawa ketahanan politik Anwar mencerminkan kematangan institusi politik negara apabila beliau berjaya mengurus perbezaan pandangan, membina konsensus dan mengekalkan keyakinan institusi utama negara.

Mengulas lanjut, Norhudi’in berkata, pembentukan Kerajaan Perpaduan yang lebih inklusif menerusi kerangka Malaysia MADANI turut membantu memperkukuhkan imej Malaysia di mata masyarakat antarabangsa.

Katanya, perkembangan itu disokong oleh prestasi ekonomi yang memberangsangkan, termasuk pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.4 peratus pada suku pertama 2026, selain pengukuhan nilai ringgit dan peningkatan pelaburan asing.

“Ketidakstabilan geopolitik dunia memberi kesan kepada banyak negara, namun ekonomi Malaysia masih berada dalam keadaan stabil dan terkawal.

“Keadaan ini membantu rakyat berasa lebih yakin, namun mereka tetap perlu mengamalkan pengurusan kewangan yang berhemah serta sentiasa bersedia menghadapi sebarang ketidaktentuan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata, seluruh rakyat juga perlu memainkan peranan dalam mengekalkan kestabilan ekonomi, keharmonian masyarakat dan kemakmuran negara.

“Jauhilah sikap ekstrem walaupun berbeza fahaman politik kerana kesejahteraan dan keharmonian masyarakat merupakan asas penting kepada kemakmuran yang telah dibina sejak sekian lama.

“Nilai itu perlu terus dipelihara agar kekal menjadi teras kepada kehidupan setiap rakyat Malaysia,” katanya. - Sinar Harian

Must Watch Video

Advertisement