Skip to main content

Malaysia

Selesai BRICS, PM Anwar mulakan siri kedua lawatan kerja ke Keralam

YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim bersama delegasi Malaysia tiba di Lapangan Terbang Calicut, Kozhikode, untuk memulakan lawatan rasmi ke wilayah Kerala, India. 13 September 2026. FATH RIZAL/Pejabat Perdana Menteri.
Anwar mengadakan pertemuan muhibah bersama Mufti Besar India yang juga tokoh ulama berpengaruh antarabangsa, Sheikh Abubakr Ahmad. - Foto PMO
Advertisement

NEW DELHI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan fasa kedua lawatan kerjanya ke India dengan tiba di negeri bersejarah Kerala malam ini, sejurus memuktamadkan penyertaan pada Sidang Kemuncak BRICS ke-18 di New Delhi.

Pesawat khas membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Calicut petang tadi sebelum beliau terus bergerak ke institusi pengajian Islam tersohor, Markazu Saquafathi Sunniyya di Karanthur.

Sejurus ketibaan di institusi berkenaan, Anwar mengadakan pertemuan muhibah bersama Mufti Besar India yang juga tokoh ulama berpengaruh antarabangsa, Sheikh Abubakr Ahmad.

Pertemuan empat mata itu menjadi medan penting kedua-dua tokoh saling bertukar pandangan mengenai agenda pembangunan masyarakat, pemerkasaan sistem pendidikan, serta usaha memperkukuh persefahaman dan keharmonian antara agama.

Majlis tersebut turut disusuli dengan majlis resepsi dan doa selamat, memperlihatkan komitmen berterusan kepimpinan Malaysia dalam memelihara diplomasi ilmu dan hubungan silaturahim bersama institusi keilmuan Islam global.

Mengikut jadual lawatan esok (Isnin), Perdana Menteri dijadual mengadakan sidang media khas (Exit Press Conference) bersama wakil media Malaysia di Tulah Clinical Wellness Sanctuary petang nanti bagi merumuskan dapatan lawatannya di Kerala.

Anwar juga dijadual menghadiri sesi libat urus bersama Gabenor, Ketua Menteri Kerala, serta barisan pemimpin perniagaan dan tokoh korporat terkemuka negeri itu bagi meneroka potensi kerjasama ekonomi dan pelaburan dua hala.

Sebaik menyempurnakan siri jelajah di Kerala esok, Perdana Menteri bersama delegasi akan berlepas ke Malé bagi memulakan lawatan rasmi ke Republik Maldives sehingga 15 September.

Must Watch Video

Advertisement