Seleweng dana pelaburan hampir RM300 juta: SPRM buka dua kertas siasatan

SPRM komited untuk melaksanakan siasatan secara profesional dan tegas memandangkan kes ini melibatkan jumlah wang yang besar serta kepentingan awam. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka dua kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana pelaburan bernilai hampir RM300 juta yang dikaitkan dengan seorang individu bergelar Tan Sri.
Ringkasan AI
- SPRM membuka dua siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana pelaburan hampir RM300 juta yang melibatkan seorang individu bergelar Tan Sri.
- Sumber menyatakan dana dikutip daripada 1,700 pelabur antara 2021 hingga 2024, tetapi dipercayai diselewengkan dan digunakan untuk tujuan lain.
- Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan fokus siasatan adalah jejak aliran dana yang diseleweng untuk tujuan pemulihan, dengan 14 akaun individu dan syarikat telah dibekukan.
"Bagaimanapun, semakan mendapati dana yang dikutip dipercayai telah diseleweng dan dibelanjakan untuk tujuan selain daripada yang dipersetujui dalam perjanjian dengan para pelabur," menurut sumber itu.
Sumber berkata Tan Sri terbabit disyaki menggunakan kedudukan serta pengaruhnya untuk menarik minat dan meyakinkan orang ramai supaya melabur dalam skim berkenaan.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan siasatan kini memfokuskan kepada jejak aliran dana yang diseleweng bagi tujuan pemulihan.
"Siasatan ini turut melibatkan kepakaran Bahagian Analisa Kewangan SPRM dan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM," katanya.
Setakat ini, 14 akaun individu dan syarikat telah dibekukan bagi membantu proses siasatan serta mengekang sebarang pergerakan dana yang disyaki berkaitan.
"SPRM masih menunggu maklum balas pihak bank berhubung baki akaun berkenaan dan menjangkakan lebih banyak akaun akan dibekukan selepas proses menjejak aliran wang selesai dilaksanakan," katanya.
SPRM komited untuk melaksanakan siasatan secara profesional dan tegas memandangkan kes ini melibatkan jumlah wang yang besar serta kepentingan awam.
Media sebelum ini melaporkan SPRM memperoleh kebenaran perintah reman selama empat hari bermula semalam terhadap Tan Sri berkenaan di mahkamah Putrajaya, bagi membantu siasatan lanjut.
Tan Sri berumur 60-an yang juga pemilik sebuah syarikat swasta dan ahli kewangan Islam itu ditahan selepas tiba di ibu pejabat SPRM, di sini pada Rabu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


