Skip to main content

Dunia

Lula beri amaran kepada Trump: "Jangan campur tangan pilihan raya Brazil"

Brazil's President Luiz Inacio Lula da Silva speaks during a ceremony announcing deforestation data in the Amazon, in Brasilia, Brazil, June 11, 2026. REUTERS/Adriano Machado
Lula da Silva memberi peringatan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, agar tidak campur tangan dalam pilihan raya negara Brazil tahun ini. - Gambar Reuters

SAO PAULO: Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva memberi peringatan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, agar tidak campur tangan dalam pilihan raya negara itu tahun ini.

Bercakap pada Rabu, Lula berkata, Trump berhak mempunyai kecenderungan politik terhadap mana-mana pihak di Brazil, namun memberi amaran supaya beliau “tidak mencampuri” proses pilihan raya yang bakal berlangsung Oktober ini.

Kenyataan itu dibuat selepas Trump memberitahu wartawan bahawa situasi politik di Brazil kini menjadi “agak tegang” dan “berbahaya.”

“Mereka bermain dengan agak keras, tetapi tiada siapa yang lebih keras daripada Amerika Syarikat,” kata Trump.

Pertikaman lidah itu merupakan episod terbaharu dalam hubungan turun naik antara kedua-dua pemimpin, yang masing-masing berada di Switzerland pada Rabu sempena hari terakhir Sidang Kemuncak G7.

Dalam perkembangan berkaitan, pencabar utama Lula menurut tinjauan ialah Senator Flavio Bolsonaro, anak kepada sekutu Trump dan bekas Presiden Brazil, Jair Bolsonaro.

Jair Bolsonaro kini berada di bawah tahanan rumah selepas disabitkan kesalahan tahun lalu berhubung dakwaan merancang rampasan kuasa susulan pilihan raya 2022.

Trump sebelum ini bertemu Senator Flavio Bolsonaro bersama abangnya, Eduardo Bolsonaro, bulan lalu. 

Eduardo merupakan bekas Ahli Parlimen yang kini menetap di Amerika Syarikat.

Trump juga dilaporkan bertemu Lula beberapa minggu sebelum itu.

Selasa lalu, Mahkamah Agung Brazil mensabitkan Eduardo Bolsonaro atas tuduhan memohon campur tangan pentadbiran Trump dalam perbicaraan melibatkan bapanya, yang dinafikannya.

Seorang jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat memaklumkan, sabitan ke atas Eduardo itu adalah sebahagian daripada “pola penganiayaan dan penggunaan undang-undang sebagai senjata politik” oleh badan kehakiman Brazil terhadap pihak pembangkang.

Jurucakap itu turut menegaskan, “perdebatan politik seharusnya diputuskan menerusi pilihan raya demokratik, bukannya melalui sabitan mahkamah.” - Agensi

Must Watch Video

Advertisement