Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, insiden itu tercetus daripada perselisihan faham tempat letak kereta antara mangsa berusia 85 tahun dan lelaki itu.
Menurutnya, mangsa mendakwa berlaku perselisihan faham berkaitan tempat letak kereta dengan suspek yang tidak dikenali di hadapan sebuah pasar raya di Masjid Tanah pada jam 10.30 pagi 4 April lalu.
"Difahamkan mangsa menunggu di dalam kereta dengan cara membuat parkir bertindih.
"Tindakan itu dipercayai dilakukan untuk menghalang suspek keluar dari petak parkir menyebabkan berlaku insiden salah faham," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.
Jelasnya, suspek kemudian dikatakan telah menolak pengadu dengan kuat menggunakan tangannya menyebabkan mangsa terlentang ke atas jalan sehingga mengalami kecederaan patah tulang belakang.
Ujarnya, siasatan yang dijalankan akhirnya berjaya mengesan suspek sebelum menahannya pada Ahad lalu dan direman selama dua hari sehingga Rabu ini.
"Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan," katanya lagi. - Sinar Harian
