Semak status pendaftaran kit ujian influenza sebelum beli - MDA

MDA turut menekankan semua establismen berdaftar hendaklah memastikan bekalan kit ujian itu sentiasa mencukupi di pasaran bagi mengelakkan gangguan terhadap keperluan fasiliti dan profesional kesihatan.
PUTRAJAYA: Orang ramai disaran menyemak status pendaftaran kit ujian influenza sebelum membuat pembelian atau penggunaan bagi memastikan produk itu berdaftar dan mematuhi piawaian keselamatan.
Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) dalam kenyataan hari ini, memaklumkan semakan boleh dibuat menerusi portal rasmi https://mdar.mda.gov.my/ dengan kit tersebut kini boleh didapati di farmasi berlesen seluruh negara.
"Semua pihak diingatkan setiap kit ujian influenza dijual di pasaran wajib berdaftar dengan MDA bagi menjamin aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan.
"Semua hospital, klinik serta fasiliti kesihatan awam dan swasta diwajibkan mendapatkan bekalan kit ujian influenza hanya daripada pengilang, pengimport atau pengedar berdaftar dengan MDA," menurut kenyataan itu.
MDA turut menekankan semua establismen berdaftar hendaklah memastikan bekalan kit ujian itu sentiasa mencukupi di pasaran bagi mengelakkan gangguan terhadap keperluan fasiliti dan profesional kesihatan.
Dalam pada itu, MDA menasihatkan golongan profesional kesihatan tidak mendapatkan kit ujian influenza melalui platform e-dagang walaupun kit tersebut kelihatan sah atau berdaftar.
"Pembelian kit ujian influenza hendaklah dibuat secara terus di farmasi berlesen atau melalui platform dalam talian syarikat berdaftar yang mengeluarkan produk itu bagi memastikan ia mematuhi piawaian dan peraturan semasa," menurut kenyataan itu.
Bagi memastikan pematuhan peraturan, MDA akan melaksanakan pemeriksaan mengejut di hospital kerajaan dan swasta serta farmasi bagi memastikan semua kit ujian dijual dan digunakan telah berdaftar serta mematuhi keperluan peraturan ditetapkan.
MDA memaklumkan berdasarkan pemantauan semasa, pihaknya mendapati berlaku kekurangan stok kit berkenaan di beberapa farmasi dan fasiliti kesihatan.
"MDA sedang melaksanakan langkah segera bagi memastikan bekalan dapat ditambah dan diagihkan dengan mencukupi untuk memenuhi keperluan semasa," menurut kenyataan itu.
MDA menegaskan sebarang aktiviti penyeludupan, pengedaran atau penjualan kit ujian influenza tidak berdaftar dilarang sama sekali dan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak terlibat.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


