PUTRAJAYA: Pembayar cukai diminta menyemak status tunggakan cukai dan sekatan perjalanan masing-masing terlebih dahulu sebelum merancang bercuti ke luar negara sempena cuti persekolahan sesi 2023/2024.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kenyataan pada Jumaat berkata bagi menyemak status semasa percukaian, pembayar cukai boleh melayari portal MyTax yang boleh dicapai melalui pautan https://mytax.hasil.gov.my/ manakala semakan status sekatan perjalanan boleh dilayari di lamanhttps://sspi.imi.gov.my/sspi/.

"Sekiranya pembayar cukai mempunyai rekod tunggakan cukai serta dikenakan tindakan sekatan perjalanan, mereka dimohon membuat bayaran atau menghubungi pejabat LHDN yang mengendalikan fail cukai mereka untuk tujuan rundingan bayaran ansuran bagi membolehkan mereka meneruskan perjalanan ke luar negara," kata LHDN.

LHDN memaklumkan sehingga 31 Dis 2023, bilangan kes sekatan perjalanan melibatkan pengarah syarikat adalah sebanyak 12,846 kes manakala individu pula 179,719 kes.

Tindakan sekatan perjalanan di bawah Seksyen 104 dan 75A Akta Cukai Pendapatan 1967 dan Seksyen 22 Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976 merupakan antara tindakan LHDN ke atas mana-mana individu yang tidak menjelaskan tunggakan cukai mereka.

Ia dikenakan setelah tindakan lain diambil antaranya seperti pengeluaran surat tuntutan bayaran tunggakan cukai atau pengeluaran e-mel pemakluman tunggakan serta panggilan telefon.

Katanya, LHDN sentiasa terbuka dan komited untuk menjadi pemudah cara kepada pembayar cukai, justeru mereka dinasihatkan untuk tampil ke pejabat LHDN bagi berbincang dan berunding dalam mencari jalan penyelesaian terbaik sekiranya berhadapan dengan sesuatu kesalahan atau kesulitan.

-- BERNAMA