MALAYSIA
Semakan BUDI95 dibuka hari ini, rakyat boleh semak kelayakan subsidi petrol RON95

Pengguna hanya perlu memasukkan MyKad ke dalam pembaca di pam minyak untuk pengesahan kelayakan sebelum membuat bayaran. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Bermula jam 9 pagi hari ini, rakyat Malaysia boleh mula membuat semakan kelayakan subsidi petrol RON95 melalui inisiatif BUDI MADANI (BUDI95) yang dilancarkan oleh Kementerian Kewangan.
Portal rasmi www.budimadani.gov.my kini dibuka untuk semakan profil kelayakan dan baki penggunaan subsidi bulanan.
Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, semakan dilakukan secara automatik menggunakan nombor kad pengenalan tanpa perlu pendaftaran baharu.
Pengguna hanya perlu memasukkan MyKad ke dalam pembaca di pam minyak untuk pengesahan kelayakan sebelum membuat bayaran.
Fakta Penting Mengenai BUDI95:
- Subsidi petrol RON95 disasarkan kepada warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas dengan lesen memandu aktif.
- Had kelayakan subsidi ditetapkan sebanyak 300 liter sebulan, berdasarkan dapatan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
- Harga subsidi kekal pada RM1.99 seliter, manakala harga pasaran tanpa subsidi adalah sekitar RM2.60 seliter.
- Penggunaan melebihi kuota akan dikenakan harga pasaran semasa.
- Pemandu e-hailing boleh memohon tambahan kuota melalui portal yang sama.
Resit transaksi akan memaparkan nilai subsidi yang ditanggung kerajaan serta amaun sebenar yang dibayar pengguna.
Kerajaan menjangkakan penjimatan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun melalui pemansuhan subsidi pukal, yang akan disalurkan semula kepada bantuan bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian bantuan BUDI95 di 1300-88-9595 mulai jam 9 pagi hari ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami