PUTRAJAYA: Semakan keputusan Program Ijazah Dalam Negara dan Program Khas Perubatan, Pergigian dan Farmasi Ijazah Pertama (PPF) bagi 2026 dibuka mulai 5 petang ini, demikian menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
JPA menjelaskan calon yang telah mengemukakan permohonan boleh membuat semakan secara dalam talian melalui portal penajaan JPA di https://penajaan.jpa.gov.my sehingga 5 petang, 25 Sept.
"Bagi 2026, sebanyak 12,300 penajaan diperuntukkan di bawah kedua-dua program berkenaan, melibatkan 12,000 penajaan Program Ijazah Dalam Negara (PIDN) dan 300 penajaan PPF," menurut JPA dalam kenyataan hari ini.
JPA memaklumkan pelajar yang berjaya akan menerima kemudahan penajaan di bawah Pinjaman Boleh Ubah Berasaskan Merit Akademik (PBU Akademik) yang diperkenalkan JPA pada Jun 2025.
Menurut JPA pelaksanaan model itu memberikan pengiktirafan berdasarkan pencapaian akademik, di samping menggalakkan pelajar mengekalkan prestasi terbaik sepanjang tempoh pengajian.
"JPA mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang berjaya dan berharap peluang penajaan ini dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk mencapai kecemerlangan akademik, memperkukuh kompetensi seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara," menurut JPA.
PIDN melibatkan pelajar yang mengikuti pengajian ijazah pertama di universiti awam, politeknik premier dan universiti berkaitan kerajaan dalam bidang sains, veterinar, kejuruteraan dan teknikal, teknologi, seni bina serta sains sosial dan sains sosial MADANI.
PPF pula melibatkan penajaan dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi bagi menyokong pembangunan bakat profesional dalam bidang kritikal, khususnya untuk memenuhi keperluan sektor kesihatan negara.
-- BERNAMA