BUKIT MERTAJAM: Semangat Merdeka bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang, sebaliknya terserlah melalui sikap rakyat Malaysia yang mengutamakan nilai kemanusiaan, saling membantu dan membuka peluang kepada mereka yang memerlukan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong berkata perkara itu dapat dilihat menerusi usaha dua anak angkatnya, Gabriel Ooi dan Sandira yang membantu seorang remaja berusia 17 tahun, Nabila yang tercicir daripada persekolahan selepas ibunya jatuh sakit dan kehilangan sumber pendapatan.
“Meskipun Ooi dan Sandira berbeza bangsa serta agama, kedua-duanya tetap berganding bahu membantu Nabila mendapatkan peluang untuk meneruskan pendidikan.
“Walaupun berbeza bangsa dan agama, mereka meletakkan kemanusiaan di hadapan dan sanggup turun padang membantu Nabila, itulah semangat Merdeka. Rakyat Malaysia berdiri bersama demi masa depan yang dikongsi,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata kisah itu bermula kira-kira dua minggu lepas apabila Ooi menghantar pesanan ringkas menerusi WhatsApp kepadanya untuk meminta bantuan, namun pada mulanya beliau menyangka remaja lelaki itu memerlukan bantuan untuk dirinya sendiri.
Menurut Sim, Ooi sudah menamatkan pengajian manakala Sandira masih menuntut di Universiti Utara Malaysia (UUM), namun perbezaan bangsa dan agama tidak menghalang mereka daripada menjalin hubungan rapat seperti abang dan adik.
Beliau berkata kedua-duanya turut berusaha mencari jalan bagi membolehkan Nabila kembali belajar sebelum menemui sebuah kolej Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Sik, Kedah yang menyediakan kemudahan asrama.
“Kemudahan asrama itu menyelesaikan masalah utama yang dihadapi Nabila dan keluarganya, iaitu kekangan pengangkutan untuk berulang-alik ke kolej. Selepas mendapat persetujuan Nabila dan keluarganya, kami mendaftarkan remaja itu di kolej berkenaan dan Nabila dijadualkan memulakan pengajian minggu depan,” katanya.
Sim berkata Nabila sebelum ini tinggal bersama datuk dan neneknya sejak ibunya jatuh sakit kira-kira empat tahun lepas, selain keluarga itu terpaksa pulang ke kampung selepas ibunya kehilangan sumber pendapatan.
“Kesukaran kewangan yang berpanjangan menyebabkan Nabila tercicir dalam pelajaran dan tidak dapat meneruskan persekolahan.
“Saya juga meminta izin daripada ibu, datuk dan nenek Nabila untuk menjadikannya sebagai anak angkat serta berjanji menanggung segala perbelanjaan sehingga remaja itu menamatkan pengajian,” katanya selepas turut menziarahi keluarga berkenaan.
Sim berkata datuk Nabila pada awalnya berasa sedih kerana terpaksa berpisah dengan cucu kesayangannya, namun memahami bahawa pengajian di asrama penting demi masa depan remaja berkenaan.
Beliau berkata lebih penting, apabila Nabila berjaya kelak, beliau berharap remaja itu bukan sahaja dapat membantu keluarganya, malah mampu menjadi seperti anak angkatnya yang lain.
Menurut Sim, menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-69, kisah Ooi dan Sandira menjadi contoh bahawa semangat patriotisme tidak seharusnya diukur hanya melalui simbol atau sambutan, sebaliknya melalui kesediaan rakyat untuk membantu antara satu sama lain.
“Merdeka bukan hanya tentang mengibarkan Jalur Gemilang tetapi tentang perpaduan dalam hati anak-anak Malaysia yang sedia berganding bahu demi masa depan bersama,” katanya.
Sim berkata mesej ringkas “Jalan Teruih” yang disampaikannya kepada Ooi dan Sandira akhirnya menjadi titik permulaan kepada jalan baharu buat Nabila.
-- BERNAMA