Skip to main content

Malaysia

Semangat Merdeka membara di Dataran Putrajaya

Merdeka,Putrajaya_Astro AWANI
Pengunjung mengambil kesempatan mencari lokasi strategik di sekitar Dataran Putrajaya untuk mendapatkan pandangan terbaik terhadap setiap pengisian yang dipersembahkan. - Foto Astro AWANI
Advertisement

PUTRAJAYA: Semangat cintakan negara jelas terpancar di Dataran Putrajaya pagi ini apabila orang ramai daripada pelbagai lapisan usia berkumpul seawal pagi untuk menyaksikan raptai penuh Sambutan Hari Kebangsaan 2026.

Ada yang hadir bersama keluarga, manakala sebahagian yang lain membawa anak kecil untuk memberi peluang kepada generasi muda merasai sendiri kemeriahan acara yang menjadi antara detik penting dalam kalendar sambutan kebangsaan.

Kawasan sekitar dataran semakin sesak menjelang bermulanya acara penuh dengan pengunjung mengambil kesempatan mencari lokasi strategik untuk mendapatkan pandangan terbaik terhadap setiap pengisian yang dipersembahkan.

Deretan pengunjung turut kelihatan memenuhi laluan utama, sementara suasana bertambah meriah apabila kontinjen peserta mula mengambil tempat sebelum acara perbarisan dan perarakan dipersembahkan.

Bagi orang ramai, kehadiran ke raptai penuh bukan sekadar untuk melihat perbarisan, sebaliknya menjadi pengalaman menyemarakkan rasa bangga dan kecintaan terhadap negara.

Pelbagai persembahan yang dijadualkan pada sambutan tahun ini turut menjadi tarikan utama, khususnya pertunjukan udara yang sentiasa dinantikan pengunjung setiap kali sambutan Hari Kebangsaan.

Pengunjung Heryati Amirah Jamal, 40, berkata seawal lima pagi lagi dia sudah tiba di dataran Putrajaya kerana mahu menikmati suasana sambutan dalam keadaan yang tidak terlalu sesak.

“Setiap tahun, sambutan Hari Kebangsaan disambut meriah dan Putrajaya sentiasa dibanjiri dengan orang ramai, sebab itu saya ambil kesempatan hadir ke sini hari ini.

“Oleh kerana persembahan yang dipamerkan begitu menakjubkan, saya buat keputusan untuk hadir sekali lagi pada Isnin ini,” katanya ketika ditemui hari ini.

Suri rumah itu berkata, pengalaman menyaksikan sambutan berkenaan secara dekat memberi keterujaan buat beliau walaupun terpaksa bersekang mata seawal pagi lagi.

“Disebabkan saya tinggal di Putrajaya, jadi saya merancang untuk datang pada pukul 5 pagi. Risau kalau lewat tempat dihadapan semua penuh," katanya.

Sementara itu, Farouk Abd Rahman, 40, berkata peluang menyaksikan perbarisan secara langsung memberikan pengalaman berbeza kepadanya selepas sekian lama hanya mengikuti acara berkenaan menerusi televisyen.

Peniaga dari Puchong itu hadir bersama enam anggota keluarganya dan berkata mereka bertolak dari rumah seawal 3.30 pagi bagi memastikan tidak terlepas acara yang dinanti-nantikan.

“Kalau kebiasaannya saya hanya duduk dirumah, tetapi kali ini ternyata berbeza kerana saya dapat rasakan semangat sambutan itu sendiri apabila tiba disini.

"Lebih penting anak anak gembira,” katanya.

Menurutnya, suasana di lokasi turut menambahkan keterujaan apabila pelbagai kontinjen dan aset dipamerkan di hadapan orang ramai.

“Rasa seronok sebab ada banyak perarakan menarik. Pertunjukan udara paling mengujakan kerana sebelum ini saya hanya melihat aksi ini menerusi kaca televisyen,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah turut berangkat mencemar duli menyaksikan sambutan penuh warna warni itu.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali gus menyerlahkan kepentingan sambutan Hari Kebangsaan sebagai acara yang menyatukan seluruh rakyat Malaysia.

Acara yang bermula pada jam 8 pagi ini membabitkan penyertaan seramai 10,819 peserta daripada 76 kontinjen, selain 22 pasukan pancaragam, 11 kereta berhias, 328 aset darat, laut dan udara, 112 ekor haiwan dalam perkhidmatan serta 22 unit aset kenderaan elektrik atau EV berjaya mencuri perhatian pengunjung.

Sepanjang sambutan, pelbagai pengisian disusun merangkumi komponen kenegaraan, kesejahteraan, ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Acara kemudian diteruskan dengan persembahan udara yang penuh gilang-gemilang sebelum kemuncaknya menerusi persembahan khas “Rentak MADANI, Paluan Tradisi”.

Membuka tirai sambutan ialah persembahan “Gema Inovasi MADANI” yang diselaraskan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Persembahan ini menggabungkan elemen pergendangan warisan tradisi dan inovasi sebagai manifestasi semangat MADANI yang mengangkat warisan budaya, kreativiti, perpaduan dan identiti bangsa.

Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini turut diserikan dengan kontinjen pembawa Jalur Gemilang bersaiz besar yang disertai pegawai kadet darat, laut dan udara daripada Akademi Latihan Kenegaraan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) serta kontinjen Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Selain itu, komponen kesejahteraan sukan menampilkan atlet negara termasuk pemenang pingat Sukan Komanwel Glasgow 2026 yang membawa bersama semangat kecemerlangan Malaysia di pentas dunia.

Must Watch Video

Advertisement