ALOR SETAR: Demi menzahirkan rasa cinta kepada negara, Sekolah Kebangsaan Seberang Perak mencipta kelainan dengan melancarkan progam Sekolahku Sejahtera di puncak Menara Alor Setar.

Guru Besar, Mohd Navawi Hamid, berkata seramai 142 orang murid dan 19 guru terlibat dalam program berkenaan yang turut menjadi antara pengisian Bulan Kemerdekaan sekolah berkenaan.

Katanya, pemilihan lokasi itu adalah bagi menunjukkan kepada murid keindahan dan kelebihan yang ada di negeri ini, seterusnya mengajar mereka lebih menghargainya.

"Ada antara murid yang tidak pernah menaiki Menara Alor Setar ini yang menjadi antara lokasi pelancongan terkenal di Kedah.

"Jadi kita bawa mereka, dan kita harap mereka sedar betapa cantik dan istimewanya negeri ini, seterusnya menambah rasa cinta kepada negeri dan seterusnya negara," katanya.

Majlis itu dirasmikan Yang di-Pertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Hairizal Hashim.

Pada majlis itu, murid turut diberi peluang melakukan aksi Snap-Sky di pelantar Menara Alor Setar pada ketinggian aras 100 meter sambil mengibar Jalur Gemilang dan poster Sekolahku Sejahtera.

Mengenai program Sekolahku Sejahtera yang dilancarkan Menteri Pendidikan, Datuk Radzi Jidin 18 Ogos lalu, Mohd Navawi berkata, ia untuk menyuntik semangat dan rasa cinta murid datang ke sekolah dalam keadaan sihat dan seronok.