Sejak Mei hingga hari ini, terdapat sembilan cubaan masuk kumpulan penjenayah daripada Filipina yang dipercayai cuba melakukan kegiatan menculik untuk wang tebusan di Sabah.

Demikian dimaklumkan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali yang berkata, maklumat mengenai perkara itu diterima hasil perkongsian risikan dengan pasukan keselamatan Filipina.

"Cubaan untuk culik memang ada. Maklumat ini kita terima daripada pasukan keselamatan Filipina.

"Memang ada cubaan di sana untuk menyeberang, untuk melakukan jenayah di negara ini.

"Oleh itu, kita terus perketatkan kawalan di sempadan perairan kita, bukan sahaja di musim pilihan raya ini, untuk memastikan keamanan dan keselamatan Sabah terus terjamin," katanya.

Hazani berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pengundian awal di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Sabah, di sini, hari ini.

BACA: Mangsa culik di Tambisan berjaya diselamatkan

BACA: Polis nafi sekatan perjalanan Tawau, Lahad Datu


Selain itu, kata Hazani, pihaknya juga sedang memantau cubaan pihak tertentu yang mempunyai dua kerakyatan untuk pulang mengundi.

Katanya, golongan tersebut dikhuatiri masuk ke negara ini melalui jalan yang tidak sah dan berpotensi mengakibatkan penularan jangkitan kes COVID-19.

"Kita takut perkara ini, iaitu dua kerakyatan. Bukan kita mahu halang hak mereka, tetapi kita risau jika mereka menggunakan jalan tikus, untuk masuk ke Sabah, untuk mengundi.

"Ini kerana, ada kemungkinan mereka membawa virus COVID-19 ke dalam msyarakat," tambahnya.