Sembilan lagi tambahan kes chikungunya dicatatkan di Alor Setar, menjadikan jumlah keseluruhan sehingga kini seramai 23 individu yang disyaki mengidap penyakit berkenaan selepas mempunyai tanda-tanda demam, sakit sendi yang teruk, dan ruam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata hasil pemeriksaan dan siasatan yang diteruskan semalam oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Setar, mereka mengesan sembilan lagi kes, individu yang mempunyai gejala yang sama.

"Sehingga 5 petang semalam, kumulatif kes yang dikesan adalah seramai 23 individu, di mana kebanyakan mereka telah mendapatkan rawatan pesakit luar, di klinik swasta sekitar Alor Setar dan berada dalam keadaan stabil.

"Hasil ujian darah yang telah dijalankan mendapati 15 individu disahkan positif Chikungunya manakala ujian darah untuk denggi adalah negatif. Dengan keputusan ujian makmal itu, maka wabak ini disahkan sebagai wabak Chikungunya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

BACA: 14 individu disyaki hidap penyakit chikungunya di Alor Setar

BACA: Bilangan mangsa meningkat, namun keadaan masih terkawal


Dr Norhizan berkata aktiviti kawalan vektor telah dijalankan di mana sebanyak 342 premis telah diperiksa dan sejumlah 1,355 bilangan bekas telah diperiksa dan daripada jumlah itu, 16 premis didapati positif pembiakan nyamuk.

"Sepuluh premis telah dikeluarkan kompaun di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP 1975). Aktiviti semburan kabus juga telah dijalankan dalam sekitar 200 meter dari kawasan terlibat.

"PKD Kota Setar telah dan sedang menjalankan tindakan pencegahan, dan kawalan yang melibatkan pengesanan kes secara aktif (ACD), promosi kesihatan kepada penduduk setempat serta melakukan pemeriksaan dan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk Aedes, di sekitar kediaman dan premis perniagaan," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai gejala demam dan sakit sendi terutama penduduk di kawasan Jalan Tunku Ibrahim sekitar City Plaza, dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan lanjut di pusat kesihatan yang berdekatan.

Semalam, seramai 14 individu yang tinggal di deretan rumah kedai berhampiran City Plaza, di sini disyaki mengidap penyakit chikungunya selepas mempunyai tanda-tanda demam, sakit sendi yang teruk dan ruam.

-- BERNAMA