KUALA LUMPUR: Berbaki beberapa hari sebelum Ramadan berakhir, demi terus mencari keberkatan dan mengumpul kebaikan, pihak Masjid Al-Mukhlisin, Alam Damai, Cheras, di sini, menganjurkan Majlis Berbuka Puasa Perdana melibatkan 150 asnaf, anak yatim dan pelajar tahfiz.

Menurut Pengerusinya, Datuk Ahmad Nazri Ibrahim, setiap tahun, acara tersebut dianjurkan bagi membantu meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan untuk sama-sama menyambut Aidilfitri.

Kata beliau, sempena majlis ini, pihak masjid menyampaikan sumbangan duit raya kepada tujuh buah masjid di bawah kariah Masjid Al-Mukhlisin.

“Setiap masjid menerima sumbangan RM2,000, di mana Ahli Parlimen Bandar Tun Razak yang juga isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail telah menyumbangkan RM19,000 diagihkan secara bersama," ujar beliau.

Ahmad Nazri (tengah) menyampaikan sumbangan duit raya kepada gologngan asnaf pada Majlis Berbuka Puasa Perdana di Masjid Al-Mukhlisin, Alam Damai baru-baru ini.

Sumbangan RM200 turut diberikan kepada 150 penerima asnaf.

Malah, sebanyak RM1,000 turut dihulurkan kepada sebuah pusat tahfiz dan rumah anak yatim, di mana kedua-dua pusat ini merupakan kariah Masjid Al-Mukhlisin.

Pada akhirnya, beliau berharap penganjuran majlis sedemikian berupaya mengimarahkan lagi masjid Al-Mukhlisin bukan sahaja sebagai tempat ibadah namun menjadi medan ilmu dan jalinan ukhuwah yang lebih baik.

Sepanjang bulan Ramadan, pentadbiran Masjid Al-Mukhlisin turut mengadakan majlis berbuka puasa, di mana ia terbuka kepada sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang.

Ahmad Nazri berkata, pada masa hadapan, beliau berharap untuk melihat Masjid Al-Mukhlisin menjadi contoh yang baik kepada masjid-masjid lain di kawasan Wilayah Persekutuan ini.

Masjid Al-Mukhlisin juga bakal mengadakan jamuan hari raya Aidilfitri nanti, di mana ia adalah acara tahunan yang diadakan sejak hampir tujuh tahun lalu.