Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud memberi peringatan kepada rakyat agar tidak mudah mempercayai orang yang mendakwa sebagai ejen bagi urusan pembelian tanah di Sarawak.

Beliau berkata sesiapa saja boleh mengatakan atau mendakwa mereka sebagai ejen, tetapi rakyat perlu tahu bahawa ini tidak semestinya benar.

“Saya sudah jelaskan. Semua orang boleh mengaku menjadi agen saya tapi yang pasti sama ada itu betul atau salah. Ini semua adalah satu penipuan, rakyat perlu berhati-hati supaya tidak terpedaya dengan pembohongan ini, dan mempercayai bahawa mereka ini ejen saya. Orang boleh mendakwa mereka ejen saya, mereka boleh berlakon menjadi ejen saya tetapi ini tidak semestinya benar. Kita ada sistem sendiri di sini, jadi berpegang teguhlah kepada sistem itu,” Taib berkata.

Beliau ditemui selepas merasmikan dewan serbaguna baru Kampung Lintang pagi tadi.

Taib diminta mengulas paparan klip video menerusi YouTube oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berpusat di London, Global Witness, yang mengaitkan beliau dan keluarganya dalam apa yang didakwa sebagai penyelewengan dalam urusan jual beli tanah.

Klip video bertajuk 'Inside Malaysia's Shadow State' yang tersebar luas di internet, memaparkan penyiasat Global Witness berlagak sebagai pelabur asing dan merakamkan sebahagian perbualan mereka dengan sepupu Taib, Norlia dan Fatimah Tun Abdul Rahman, serta peguam kononnya berhubung pembelian tanah di Sarawak untuk meraih keuntungan besar.

Norlia dan Fatimah ialah anak perempuan bekas Ketua Menteri Sarawak Tun Abdul Rahman Ya'kub, yang juga bapa saudara Taib.

Ditanya sama ada beliau atau kerajaan negeri akan mengambil tindakan menyaman NGO terbabit, Taib berkata beliau sedang meneliti perkara itu.

Saya cuba mencari apa yang sebenarnya berlaku dan apakah peringkat siasatan yang perlu dilakukan. Namun apa yang boleh saya katakan ialah memang nyata sekarang mereka sebenarnya bukanlah memperjuangkan apa yang mereka ucapkan, sebaliknya mereka cuba menyokong pembangkang terutamanya dalam pilihan raya akan datang, tiada siapa yang boleh menafikannya,” tambah beliau.

Badan pemerhati anti rasuah, Transparensi Antarabangsa Malaysia (TI-M) sebelum ini menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan lanjut.

Berikutan kenyataan TI-M, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengumumkan akan “bertindak sewajarnya”.

“Siasatan sedang dijalankan. Dengan adanya bukti baru, SPRM akan bertindak dengan sewajarnya,” kata pengarah penyiasatan SPRM Datuk Mustafar Ali menerusi SMS yang dikirim kepada Astro AWANI.

Sementara itu, pemimpin kanan politik Sarawak, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyifatkan pendedahan rakaman sulit video oleh aktivis antarabangsa, Global Witness sebagai satu cubaan untuk mengaibkan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Dalam pada itu, Singapura menafikan tuduhan bank negara itu melindungi pengelak cukai yang dikaitkan dengan sebuah keluarga berpengaruh dari Sarawak.