Skip to main content

Malaysia

Pandangan Parlimen Belia akan diberi perhatian serius - Yang Dipertua Dewan Rakyat

Johari berswafoto borsama wakil pelajar pada iFUTURE 2026 hari ini. - Gambar Bernama
Johari berswafoto borsama wakil pelajar pada iFUTURE 2026 hari ini. - Gambar Bernama

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memberikan perhatian serius pandangan yang dibangkitkan dalam Parlimen Belia Malaysia kerana menyedari generasi muda berada pada kedudukan terbaik dalam menyuarakan keperluan, kebimbangan dan aspirasi demi masa hadapan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul berkata golongan muda Malaysia perlu diberikan peluang yang bermakna untuk mengambil bahagian dalam proses demokrasi, di samping memikul tanggungjawab yang datang bersama kepimpinan.

Beliau berjanji akan mendengar sendiri pandangan golongan muda, sambil menegaskan bahawa usaha memperkasakan mereka bukan sekadar memberikan platform untuk bersuara, tetapi juga melengkapkan mereka dengan bimbingan, pengetahuan dan keyakinan untuk membentuk masa depan negara.

“Masa depan milik anda. Saya sudah melalui hari semalam. Semalam ialah hari saya, tetapi esok ialah hari anda. Jadi, saya mahu mendengar dengan teliti apa yang anda semua inginkan,” katanya ketika menyampaikan syarahan khas bertajuk Future Leader, Stronger Democracy, Empowering Youth to Shape the Nation.

Beliau berucap pada Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Hadapan Antarabangsa 2026 (iFUTURE 2026) di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Johari menggesa golongan muda Malaysia merebut peluang untuk menyertai Parlimen Belia, sambil berkata platform itu akan memberikan mereka pengalaman langsung dalam membahaskan isu dan membangunkan kemahiran kepimpinan, dengan wakil yang dipilih akan berkhidmat untuk tempoh dua tahun.

Parlimen Belia Malaysia, yang merupakan platform pendidikan dan latihan bagi golongan muda untuk menyuarakan pandangan serta membangunkan kemahiran kepimpinan, akan mengadakan proses pemilihan pada 1 dan 2 Nov, manakala keputusan rasmi dijadual diumumkan pada 2 Nov.

Dalam usaha memperkukuh demokrasi, Johari berkata bakal pemimpin perlu belajar untuk berunding, menerima pandangan yang berbeza dan mendengar pendapat orang lain, dengan kesabaran dan sikap rendah diri menjadi elemen penting untuk mencapai kata sepakat.

“Demokrasi bukan tentang menang semua atau kalah semua. Demokrasi bermaksud saling memahami dan membuat penyesuaian. Demokrasi bermaksud memahami kesusahan yang anda hadapi dan hasrat saya. Demokrasi juga berlandaskan sikap saling memberi dan menerima,” katanya.

Johari turut mengetengahkan program Sekolah Parlimen yang memberi peluang kepada pemimpin pelajar sekolah menengah untuk mengikuti persidangan di Dewan Rakyat dan memahami dengan lebih mendalam cara wakil rakyat membangkitkan isu serta menyuarakan kebimbangan penduduk di kawasan yang diwakili mereka.

Beliau berkata golongan muda yang bercita-cita menjadi pemimpin masa depan perlu berani memasang impian besar, mengambil risiko dan terus meluaskan pengetahuan, di samping mempunyai keberanian untuk mengakui kesilapan, menerima kritikan dan memperbaiki diri.

Sidang Kemuncak iFUTURE 2026 selama tiga hari yang berakhir esok bertemakan “Redefining Future Leaders Through Value-Based Leadership” dan menghimpunkan 1,231 pemimpin pelajar, terdiri daripada 813 rakyat Malaysia dan 418 delegasi antarabangsa dari 60 negara.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement