KUCHING: Semua sekolah menengah dan rendah di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Serian akan beroperasi seperti biasa pada esok.
Jabatan Pendidikan Sarawak (JPNS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan sebarang perubahan atau maklumat terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa, dengan sekolah diingatkan supaya mengutamakan kesihatan murid, guru dan seluruh warga sekolah sepanjang masa.
“JPNS akan sentiasa menitikberatkan penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid, khususnya semasa menghadapi keadaan cuaca panas ataupun sebarang keadaan cuaca di luar jangkaan,” menurut kenyataan itu.
JPNS juga mengingatkan pihak sekolah untuk mengikut prosedur operasi standard ditetapkan dan merujuk kepada surat siaran Kementerian Pendidikan (KPM) berkaitan langkah kesihatan dan keselamatan murid di kawasan berjerebu bertarikh 15 Jan 2019.
Selain itu, semua institusi pendidikan di bawah seliaan JPNS dinasihatkan sentiasa mengikuti garis panduan dalam surat siaran KPM berhubung garis panduan pelaksanaan aktiviti luar semasa cuaca panas bertarikh 6 Jun 2023.
JPNS memaklumkan institusi pendidikan perlu peka dengan perkembangan semasa dan merujuk portal rasmi Jabatan Alam Sekitar serta Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) untuk memantau tahap Indeks Pencemaran Udara (IPU) selain mematuhi saranan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menjamin kesihatan murid dan warga institusi pendidikan.
-- BERNAMA