Senator cadang denda RM100 juta kepada platform media sosial langgar had umur minimum

Vell Paari berkata sudah tiba masanya kerajaan mengambil tindakan tegas, selaras dengan langkah Australia yang mengenakan denda hingga AUD50 juta terhadap mana-mana syarikat yang tidak mematuhi peraturan berkenaan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Seorang senator hari ini mencadangkan supaya penyedia perkhidmatan media sosial dikenakan denda RM100 juta sekiranya gagal mematuhi dasar had umur minimum 16 tahun bagi pembukaan akaun baharu.
Ringkasan AI
- Senator mencadangkan denda RM100 juta terhadap penyedia media sosial yang langgar had umur minimum 16 tahun.
- Cadangan itu seiring langkah Australia yang denda syarikat hingga AUD50 juta yang melanggar peraturan.
- Langkah pengesahan identiti eKYC dijangka kuatkuasakan menjelang suku kedua 2026 bagi melindungi kanak-kanak daripada eksploitasi dalam talian.
"Jika kompaun terlalu rendah, mereka (pengendali platform) tidak akan gentar. Mereka boleh membayar denda dan terus melakukan pelanggaran yang sama," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan 2026) di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata ketiadaan kawalan terhadap umur pengguna menyebabkan kanak-kanak mudah terdedah kepada pelbagai risiko termasuk penipuan dalam talian, buli siber, kandungan ekstrem dan manipulasi menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI).
"Media sosial dan AI ini ibarat pisau. Ia boleh digunakan untuk pendidikan, perniagaan dan komunikasi tetapi tanpa kawalan, ia boleh merosakkan dan mencederakan minda kanak-kanak," katanya.
Minggu lepas, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dilaporkan berkata kerajaan menyasarkan semua platform media sosial melaksanakan pengesahan identiti pengguna secara digital (eKYC) menjelang akhir suku kedua 2026 bagi menguatkuasakan had umur minimum 16 tahun untuk pembukaan akaun.
Beliau berkata langkah itu bertujuan melindungi kanak-kanak daripada eksploitasi dalam talian, dengan rundingan bersama agensi dan platform media sosial telah dimulakan.
Sementara itu, Senator Datuk Abdul Halim Suleiman turut meminta kerajaan mengambil tindakan lebih tegas bagi mengawal kandungan media sosial termasuk TikTok dan Instagram, yang didakwa semakin sukar dikawal akibat algoritma komersial yang mempromosi kandungan tidak sesuai.
"Jika tiada undang-undang yang membolehkan tindakan diambil terhadap pengiklanan ini, kita bimbang teknologi akan melemahkan jati diri dan disiplin anak kita, mendorong mereka kepada perkara lebih buruk bermula daripada sekadar 'ingin mencuba'. Saya mohon Menteri Komunikasi beri perhatian serius terhadap isu ini," katanya.
Persidangan Dewan Negara bersambung esok.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


