SANDAKAN: Seorang maut manakala empat yang lain parah selepas sebuah kenderaan jenis Perodua Viva hilang kawalan sebelum terbabas di Jalan Batu Sapi, berdekatan Taman Pohing, di Sandakan pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.59 pagi itu, mangsa lelaki berusia 42 tahun yang duduk di bahagian penumpang hadapan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di badan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, hasil siasatan awal mendapati sebelum kemalangan, kenderaan terbabit yang dipandu seorang lelaki berumur 29 tahun bersama lima penumpang lain sedang dalam perjalanan dari arah Kampung Bahagia menghala ke pusat bandar Sandakan.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh tempat pembuangan sampah di bahagian kiri jalan.

"Impak daripada kemalangan, penumpang hadapan berumur 42 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu serta tiga lagi penumpang lain mengalami kecederaan parah dan seorang lagi penumpang tidak mengalami kecederaan.

"Mangsa yang cedera kemudiannya dikejarkan ke Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk rawatan dan mayat mangsa meninggal dunia dihantar ke Bilik Mayat hospital yang sama," katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Katanya, siasatan diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.