Pemandu sebuah kereta Proton Arena maut selepas bertembung dengan sebuah kereta pacuan empat roda di Jalan Kampung Tongodon, Tongod dekat sini, hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Sadaing Tangah, 55, mati di tempat kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan Nurul Azlan Jamalludin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai mangsa yang tersepit dalam kereta dalam kejadian itu pada jam 3.18 petang.

Katanya anggota bomba dari balai itu hanya tiba di tempat kejadian pada jam 5.02 petang disebabkan lokasi kejadian yang jauh terletak 143 kilometer dari balai bomba itu.

Menurutnya anggota bomba mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di tempat duduknya.

Beliau berkata mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA