SABAK BERNAM: Seorang lelaki maut manakala lima lagi cedera selepas kereta Proton Wira dinaiki mereka terbabas ke dalam parit di Jalan Parit 8, Kampung Sungai Leman, dekat sini, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.24 pagi.

Menurutnya, seramai lima anggota dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan dikejarkan ke tempat kejadian.

"Setibanya di lokasi, terdapat enam mangsa dalam kereta Proton Wira tersebut iaitu dua lelaki dan empat perempuan.

"Seorang lelaki berusia lingkungan 50-an dikeluarkan pasukan bomba dan disahkan meninggal dunia pada jam 6.48 pagi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu, seorang lagi lelaki dan dua wanita berusia 50-an dan dua kanak-kanak perempuan mengalami kecederaan ringan.

Katanya, kemalangan dipercayai melibatkan dua kenderaan antara Proton Wira dinaiki semua mangsa dan sebuah Honda Civic terbabas ke dalam parit sedalam satu meter.

"Bagaimanapun setakat ini, pemandu Honda Civic gagal dikesan," jelasnya. - Sinar Harian