PUTRAJAYA: Kabinet baharu Kerajaan Madani menyaksikan seorang menteri dan dua timbalan menteri digugurkan daripada senarai.

Ia membabitkan V Sivakumar yang sebelum ini memegang portfolio Menteri Sumber Manusia sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerajui kerajaan Persekutuan.

Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh dan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Siti Aminah Aching turut menerima nasib sama.

Posisi Ramkarpal diganti oleh M Kulasegaran manakala Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin mengambil alih tempat Siti Aminah.

Kita cuba membawa sedikit perubahan yang diperlukan - Perdana Menteri

Anwar pada pengumuman tersebut menyenaraikan lima menteri baharu yang mana tiga daripada mempunyai pengalaman sebagai menteri sebelum ini.

Mereka adalah Gobin Singh Deo sebagai Menteri Digital; Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilantik kembali menerajui Kementerian Kesihatan dan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani diumum sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi.

Selain itu, Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim Chee Keong dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia.

Senator yang baharu iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizah akan mengurangkan beban tanggungjawab Anwar di Kementerian Kewangan dengan dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan II.

Bekas Dekan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Zulkifli Hasan pula mengisi kekosongan sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad yang juga Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) menggantikan tempat Datuk Aiman Athirah Sabu di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Aiman Athirah pula bertukar ke Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebagai Timbalan Menteri.

Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk R Ramanan dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sementara Ahli Parlimen Taiping Wong Kah Woh sebagai Timbalan Menteri Pendidikan. - Sinar Harian