KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa penyerahan beg berisi wang RM1 juta kepada Lim Guan Eng di lokasi terbuka ketika beliau berpakaian rasmi sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang memang berlaku meskipun kedengaran seperti tidak masuk akal.
Datuk Seri G.Gnanaraja, 44, berkata demikian semasa disoal balas oleh peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Lim pada perbicaraan kes rasuah projek pembinaan jalan-jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang melibatkan Ahli Parlimen Bagan itu.
Advertisement
Ramkarpal: Saya katakan beg itu tidak pernah diserahkan kepada Lim Guan Eng seperti yang didakwa kerana tidak masuk akal untuk Lim Guan Eng selaku Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu, untuk ke Publika pada waktu yang sibuk iaitu hari Ahad dengan berpakaian seragam Ketua Menteri Pulau Pinang serta pegang satu beg kononnya mengandungi RM1 juta... ini satu perkara yang tidak pernah berlaku.
Gnanaraja: Memang tidak masuk akal, tapi memang sudah berlaku.
Pada 27 Ogos tahun lepas, saksi itu memberitahu mahkamah beliau menyerahkan beg hitam berisi wang RM1 juta itu kepada Lim semasa menghantar beliau ke Publika di Hartamas, dan tertuduh telah mengambilnya serta menepuk bahu Pengarah Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli yang berada di tempat duduk pemandu.
Ramkarpal: Setuju ke Encik Gana (Gnanaraja) bahawa dalam perjumpaan tersebut, mengikut versi kamu, Lim Guan Eng telah keluar dari kereta dan tiada sebarang pegawainya berjumpa dengan beliau.
Gnanaraja: Betul tiada.
Saksi pendakwaan ke-37 itu juga berkata beliau menyerahkan beg berisi wang RM1 juta tersebut berhampiran kawasan Publika namun tidak ingat lokasi yang tepat.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 65, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu menggunakan kedudukan beliau untuk menerima RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai kira-kira RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Ahli Parlimen Bagan itu didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.
Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 3 Mac ini.
-- BERNAMA