KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK Harmoni) akan mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan insiden berhubung sensitiviti agama dan perkauman termasuk serangan di kedai serbaneka KK Mart, baru-baru ini.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),  Datuk Mohd Na'im Mokhtar dalam kenyataan bersama berkata jawatankuasa tersebut akan mengambil langkah-langkah segera dalam menjamin keharmonian rakyat dan negara.

Kedua-dua menteri juga mengutuk sekeras-kerasnya semua insiden polemik perkauman dan agama yang menganggu gugat keharmonian rakyat.

"Kedua-dua menteri memberikan amaran tegas kepada kesemua individu agar tidak sama sekali mencetuskan polemik perkauman yang lampau sehingga mewujudkan ketegangan sosial dalam kalangan rakyat berbilang bangsa, agama dan budaya di Malaysia.

"Selain itu, kedua-dua menteri juga mengulangi pendirian menggesa agar tidak ada pihak yang mencetuskan perkara menyentuh sensitiviti agama dan mematuhi Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

JK Harmoni diurusetiakan oleh Kementerian Perpaduan Negara dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Mengulas lanjut, Aaron dan Mohd Na'im turut menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang melanggar undang-undang dan membawa mereka ke muka pengadilan.

Jelas mereka, insiden pelbagai insiden berhubung sentiviti agama dan perkauman termasuk di KK Mart, Kuching dicetuskan oleh individu-individu tidak bertanggungjawab.

"Pihak yang terlibat perlu dihukum dengan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada semua pihak," ujar beliau.

Dalam masa sama, kedua-dua menteri menyeru agar masyarakat sentiasa memupuk dan mengamalkan nilai-nilai hidup, yang merupakan tanggungjawab setiap rakyat bagi melindungi serta mempertahankan kestabilan dan keselamatan negara daripada sebarang ancaman perbalahan, provokasi serta permusuhan.

Tiga kedai serbaneka KK Mart dibaling  'molotov cocktail' bermula dengan serangan di KK Mart di Jalan Bruseh, Bidor pada 25 Mac.

Ia disusuli dengan KK Mart yang baharu beroperasi dua minggu di Kuantan, Pahang.

Sementara semalam, Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner (ACP) Ahsmon Bajah mengesahkan 
KK Mart cawangan Kuching turut dibaling 'molotov cocktail'.