KUALA LUMPUR: Serba Dinamik Holdings Bhd hari ini menjelaskan bahawa ia merupakan penaja acara Hari Malaysia pada Ekspo 2020 Dubai, sepertimana peranan Petroliam Nasional Bhd (Petronas).

Dalam kenyataan hari ini, Serba Dinamik berkata peguam Serba Dinamik Tan Sri Shafee Abdullah yang mewakili Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) Datuk Mohd Abdul Karim Abdullah, tidak pernah menyebut bahawa syarikat itu bekerjasama dengan Petronas bagi ekspo tersebut.

"Dalam kenyataan media yang dibuat oleh Shafee, ia jelas menyatakan bahawa Abdul Karim telah komited untuk menghadiri Ekspo 2020 Dubai bagi mewakili Serba Dinamik pada acara Hari Malaysia ekspo itu yang dijadual pada 8 Jan, 2022.

"Apa yang dinyatakan ialah Serba Dinamik merupakan penaja acara itu sepertimana Petronas yang bertujuan memberi penekanan mengenai kepentingan acara tersebut bagi makluman Mahkamah Sesyen," katanya.

Serba Dinamik mendakwa ia mengeluarkan kenyataan itu sebagai maklum balas terhadap kenyataan yang disalah petik oleh Free Malaysia Today (FMT) menerusi artikel bertajuk "Serba Dinamik CEO charged over alleged false statement on company affairs."

Kenyataan itu juga sebagai reaksi terhadap kenyataan media oleh Petronas pada Rabu yang menafikan ia bekerjasama dengan Serba Dinamik bagi menarik pelabur di Ekspo 2020 Dubai.

Menurut laporan FMT, Abdul Karim akan menghadiri ekspo perdagangan itu pada bulan depan bagi menarik pelabur dan "Serba Dinamik serta Petronas akan membawa masuk pelaburan bernilai RM33.9 bilion."

Serba Dinamik berkata Ekspo 2020 Dubai merupakan pameran perdagangan global yang bakal dihadiri oleh 192 negara dan organisasi pada 1 Okt, 2021 hingga 31 Mac, 2022.

Ekspo berkenaan telah menarik pelaburan sebanyak RM33.9 bilion ke Malaysia sebagaimana dilaporkan oleh media The Edge bertarikh 4 Dis, 2021, kata syarikat itu.

-- BERNAMA