MALAYSIA
Sesi pemukiman libat beberapa kementerian, agensi bincang SOP banteras isu buli - Fahmi

Fahmi berkata, penyelarasan tindakan itu akan melibatkan KPM, Kementerian Pertahanan, MARA, Jabatan Peguam Negara, PDRM dan MCMC.
PUTRAJAYA: Sesi permukiman melibatkan beberapa kementerian dan agensi berkaitan akan diadakan dalam masa terdekat untuk menyelaras aspek prosedur operasi standard (SOP) membanteras isu buli.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, penyelarasan tindakan itu akan melibatkan Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Pertahanan, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Bermulai Julai, pindaan kepada Seksyen 507 Kanun Keseksaan (berkuat kuasa) ini bermaksud telah ada definisi apa itu buli dan menjadikan buli itu satu jenayah, jadi SOP dan beberapa perkara perlu difahami oleh semua institusi.
“Satu permukiman melibatkan kementerian-kementerian yang saya nyatakan tadi untuk menyelaras aspek-aspek SOP supaya kejadian buli dapat ditangani secara menyeluruh, mungkin di satu institusi (pendidikan) caranya seperti ini, di institusi yang lain caranya berbeza. Tetapi aspek pendakwaan dan aspek keselamatan akan melibatkan banyak pihak, jadi (akan dibincangkan dalam) pemukiman dalam masa terdekat,” katanya.Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata demikian pada sidang akhbar mingguan di Putrajaya, hari ini.
Pada 11 Ogos lalu, kerajaan telah memperkenalkan peruntukan baharu dalam Kanun Keseksaan bagi menangani kes buli, gangguan, penghinaan dan penyalahgunaan maklumat identiti, termasuk yang dilakukan secara dalam talian.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pindaan itu dimasukkan melalui Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 [Akta A1750] yang mendapat Perkenan Diraja pada 25 Februari lepas dan diwartakan pada 7 Mac 2025.
Dalam pada itu, mengulas mengenai cadangan penubuhan tribunal berhubung kes buli membabitkan pelajar dan kanak-kanak, Fahmi berkata, perkara tersebut akan dibentangkan semula kepada Jemaah Menteri selepas Azalina menyediakan dokumen berkaitan.
“Beliau (Azalina) meminta sedikit masa untuk sediakan dokumen-dokumen berkaitan sebelum dibentangkan semula kepada Jemaah Menteri,” katanya.
Menurut Azalina sebelum ini, kerajaan akan meneliti keperluan untuk menggubal Akta Antibuli yang memberi penekanan kepada penubuhan sebuah tribunal, bagi mendengar kes buli melibatkan pelajar dan kanak-kanak.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami