KANGAR: Setem pos mampu menjadi pencetus untuk golongan muda mengenali sejarah, geografi, budaya, sains dan hubungan antarabangsa, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata adalah penting untuk filateli terus berkembang dan meneroka kaedah baharu bagi menarik minat generasi muda.
“Meskipun kita perlu menerima teknologi dan bentuk komunikasi baharu, kita tidak seharusnya melupakan nilai pendidikan dan sejarah yang terdapat dalam bentuk komunikasi tradisional,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pameran Setem Lima Negara Perlis Malaysia 2026 di Dewan 2020, di sini malam tadi.
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan merasmikan pameran itu.
Turut berangkat Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Fahmi turut menyambut baik kerjasama Kementerian Pendidikan serta usaha yang dilaksanakan untuk memperkenalkan kegiatan mengumpul setem dan filateli kepada generasi muda Malaysia.
Beliau berkata usaha memelihara warisan perkhidmatan pos dan filateli memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak.
“Oleh itu, saya merakamkan penghargaan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Pos Malaysia dan Persatuan Filateli Malaysia atas peranan masing-masing dalam menyokong dan membangunkan ekosistem filateli di negara ini.
“Saya juga mengucapkan tahniah kepada Persatuan Filateli Malaysia atas usaha membawa pameran antarabangsa seumpama ini ke negeri Perlis,” katanya.
Fahmi berkata sejarah setem turut berkait rapat dengan sejarah komunikasi, dan selama beberapa generasi, perkhidmatan pos adalah antara kaedah paling penting yang menghubungkan manusia, masyarakat dan negara.
“Setiap surat membawa mesej, dan setiap setem menjadi sebahagian daripada perjalanan itu. Hari ini, cara kita berkomunikasi telah mengalami perubahan yang pesat.
“Mesej yang suatu ketika dahulu mengambil masa berhari-hari atau berminggu-minggu untuk sampai, kini boleh dihantar ke seluruh pelosok dunia hampir sekelip mata. Namun, dalam era digital ini setem kekal mempunyai kedudukan yang istimewa dalam masyarakat kita,” katanya.
Fahmi berkata setem kini telah berkembang melangkaui fungsi asalnya yang bukan sekadar untuk urusan pos, tetapi turut mencerminkan sejarah dan identiti sesebuah negara.
Setem Malaysia telah merakamkan pelbagai peristiwa penting negara, institusi diraja, tokoh terkemuka, warisan budaya, pencapaian serta kepelbagaian biologi.
“Dalam konteks itu, setem menyediakan generasi akan datang dengan rekod visual mengenai siapa kita dan pencapaian yang telah dicapai sebagai sebuah negara,” katanya.
-- BERNAMA