MALAYSIA
Setiausaha Negara AS adakan lawatan ke Kuala Lumpur pada Selasa

Marco Rubio dijadual mengadakan lawatan rasmi pertamanya ke Malaysia bermula Selasa ini bagi menghadiri beberapa mesyuarat penting bersama pemimpin ASEAN dan pegawai kanan kerajaan Malaysia. - Foto fail/REUTERS
KUALA LUMPUR: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio dijadual mengadakan lawatan rasmi pertamanya ke Malaysia bermula Selasa ini bagi menghadiri beberapa mesyuarat penting bersama pemimpin ASEAN dan pegawai kanan kerajaan Malaysia.
Menurut jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Tammy Bruce, dalam kenyataan yang disiarkan di laman web rasmi jabatan itu, Rubio akan berada di Kuala Lumpur dari 8 hingga 12 Julai ini.
Sepanjang lawatan itu, beliau dijadual menghadiri Persidangan Pasca Menteri-Menteri Luar ASEAN-Amerika Syarikat, Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) serta Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Forum Serantau ASEAN (ARF).
Kunjungan sulung Rubio ke rantau Asia itu turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh komitmen Amerika Syarikat dalam memajukan rantau Indo-Pasifik yang bebas, terbuka dan selamat."Lawatan ini bakal menonjolkan kekuatan Perkongsian Strategik Komprehensif antara Amerika Syarikat dan ASEAN dalam memberikan manfaat kepada rakyat AS dan Asia Tenggara.
"Ia juga menandakan komitmen berterusan Washington untuk memperkukuh Perkongsian Komprehensif bersama Malaysia secara khusus,” kata Bruce dalam kenyataan itu, pada Isnin.
Rubio turut dijangka mengadakan pertemuan dengan beberapa pegawai kanan kerajaan Malaysia bagi membincangkan pelbagai isu dua hala dan serantau yang berkepentingan bersama.
Lawatan ini dilihat sebagai usaha Washington memperkukuh semula penglibatan strategiknya di Asia selepas beberapa bulan pentadbiran AS menumpukan perhatian kepada konflik di Ukraine dan Asia Barat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami