JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor yakin Zon Kewangan Khas (SFZ) di Forest City, Iskandar Puteri, dan Zon Ekonomi Khas (SEZ) yang bakal diwujudkan akan menjadi pemangkin dalam menyemarakkan lagi ekonomi di Johor sekali gus mengukuhkan status negeri itu sebagai rakan strategik terpenting bagi negara jiran, Singapura.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata satu perbincangan mengenai SFZ telah diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar di sini bersama Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor (BPEN), Lembaga Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA) dan Pengurusan Wilayah Forest City.

"Terdapat beberapa cadangan perancangan oleh Forest City untuk mewujudkan ekosistem hab kewangan terbaik seperti membina laluan daripada lebuh raya LINKEDUA terus ke Forest City; dan mewujudkan 10,000 peluang pekerjaan baharu dalam tempoh 10 tahun.

"Cadangan lain iaitu melancarkan perjalanan rentas sempadan dengan mewujudkan visa kemasukan berulang dan laluan pantas imigresen serta Pakej Cukai dan Insentif Khas," katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya hari ini.

Mengulas lanjut, Onn Hafiz berkata terdapat enam cadangan sektor kewangan yang sedang diperhalusi iaitu Perbankan dan Kewangan, Pasaran Modal, Teknologi Kewangan dan Inovasi, Kewangan Islam, Pengurusan Harta serta Pengurusan Insurans dan Risiko.

"Saya juga dimaklumkan bahawa beberapa hospital, sekolah antarabangsa dan institusi pengajian tinggi ternama turut menyatakan minat mereka untuk menjadi sebahagian ekosistem SFZ di Forest City.

"Semoga hasil limpahan ekonomi ini akan dirasai oleh segenap Bangsa Johor dan merealisasikan hasrat Johor menjadi sebuah negeri maju menjelang tahun 2030. Insya-Allah," katanya.

Sebelum ini, Onn Hafiz berkata perbincangan lanjut di antara Malaysia dan Singapura untuk mewujudkan SEZ Johor-Singapura akan disusuli dengan persetujuan terhadap Terma Rujukan (TOR).

Katanya, SEZ Johor-Singapura itu mampu menjadikan Johor seperti bandar raya Shenzhen di China, yang berkembang maju selepas empat dekad menjadi SEZ.

-- BERNAMA