MALAYSIA
SG4 tolak RUU Pembaharuan Semula Bandar

SG4 menegaskan undang-undang sedia ada sudah memadai dalam menangani isu pembangunan semula bandar jika dilaksanakan secara berfokus dan berkesan. - Foto Urus Setia Penerangan Darul Aman
KUALA LUMPUR: Negeri-negeri yang membentuk gabungan SG4 iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis sebulat suara menolak Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 2025 yang dijadual dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Parlimen pada 27 Ogos.
Menteri Besar Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis dalam kenyataan bersama menegaskan RUU berkenaan jika diluluskan akan memberi kesan besar terhadap kuasa autonomi negeri, hak pemilikan tanah, kelangsungan komuniti asal bandar serta hak asasi penduduk setempat.
"Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) sudah jelas memperuntukkan bahawa urusan perancangan bandar berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri menerusi Pihak Berkuasa Perancang Negeri dan Pihak Berkuasa Perancang Tempatan.
"RUU baharu itu tidak memperincikan mekanisme pampasan dan perlindungan kepada pemilik asal tanah selain dibimbangi mampu menjejaskan keseimbangan kaum dalam pemilikan hartanah terutama Bumiputera di kawasan bandar.“Pelaksanaan RUU PSB tanpa mekanisme yang jelas boleh mewujudkan jurang komuniti kaum di bandar-bandar dan menjejaskan keharmonian negara,” menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.
Menteri Besar Kelantan Datuk Seri Mohd Nassuruddin Daud, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli menandatangani kenyataan bersama itu.
SG4 menegaskan undang-undang sedia ada termasuk Kanun Tanah Negara, Akta Pengambilan Tanah 1960, Akta Hakmilik Strata 1985, Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 sudah memadai dalam menangani isu pembangunan semula bandar jika dilaksanakan secara berfokus dan berkesan.
“Sehubungan itu, SG4 dengan ini menolak RUU Pembaharuan Semula Bandar 2025,” tegas kenyataan tersebut.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami