Ketua Penerangan UMNO Shahril Sufian Hamdan menjadi pemimpin politik terbaharu yang disahkan terkena jangkitan COVID-19.

Perkara itu dikongsikan beliau sendiri melalui ciapan di akaun Twitternya, sebentar tadi.

“Positif COVID-19. Tiada simptom yang ketara melainkan penat sedikit.

"Buat keputusan untuk ambil ujian semalam di Kuala Lumpur sebagai langkah berjaga-jaga selepas kes melonjak naik, kerana saya terlibat berkempen di Sabah.

"Baru menerima panggilan dan akan dimasukkan ke hospital hari ini. Saya memohon maaf atas kesulitan yang bakal dihadapi orang-orang yang menjadi kontak rapat saya,” katanya lagi.

Shahril telah berada di Sabah sejak beberapa hari lepas bagi menyertai Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional sempena Pilihan Raya Negeri (PRN).

BACA: Ahli MT UMNO dilapor postif COVID-19 selepas berkempen di Sipitang

Sebelum ini, Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Mohd Razlan Rafii telah disahkan menghidap COVID-19 dan sedang dirawat di hospital.

Beliau dilaporkan membantu jentera pilihan raya di Parlimen Sipitang, dan kesemua kontak rapatnya telah melalui ujian saringan.

Setakat ini, Sabah mempunyai enam kluster COVID-19 yang dikesan, namun penularan disifatkan dalam keadaan terkawal.

BACA: COVID-19: 210 alat bantuan pernafasan bakal diagih ke hospital Sabah - Dr Noor Hisham

Kebimbangan mengenai tahap keselamatan meningkat apabila Sabah menghadapi PRN yang akan berlangsung Sabtu ini, melibatkan lebih 1.2 juta pengundi.