KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar akan bertemu dengan pakar bedah yang mengendalikan kes pemain sayap kebangsaan, Mohamad Faisal Abdul Halim, esok.

Dalam mesej ringkas kepada Astro AWANI melalui aplikasi WhatsApp, beliau memaklumkan akan memberikan perkembangan terbaharu berkenaan keadaan Faisal selepas tamat pertemuan itu.

“ Insya Allah esok saya maklumkan kerana saya akan bertemu dengan pakar bedah di hospital,” katanya.

Terdahulu media melaporkan keadaan Faisal yang mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali minggu lalu, semakin beransur pulih.

Shahril memaklumkan proses skin allograft yang dijalankan ke atas Faisal disifatkan berjaya, dengan lapisan kulit yang dibawa dari luar negara untuk digunakan dalam prosedur pembedahan Khamis lepas dilihat sesuai dan tiada sebarang masalah.

Insiden yang menimpa Faisal merupakan kejadian malang kedua menimpa pemain bolasepak negara selepas pemain pinjaman Terengganu FC, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, cedera pada kepala dan kaki selepas diserang dua penyamun di kawasan kediamannya di Kuala Terengganu, 2 Mei lepas.

Ia disusuli insiden cermin kereta pemain kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) Safiq Rahim dipecahkan oleh dua lelaki menaiki motosikal dengan menggunakan tukul besi di Johor Bahru, pada 7 Mei.