KUALA LUMPUR: Seorang pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa, Tan Sri Shahrir Ab Samad sepatutnya melaporkan wang RM1 juta yang diterimanya pada 2013 kepada LHDN.

Timbalan Ketua Unit Audit Meja Selebriti, Penghibur Awam dan Pelbagai, Bahagian Penaksiran LHDN, Tuan Zulkfli Tuan Lah, 48, berkata, wang yang diterima Shahrir dalam jumlah yang banyak itu, perlu dilapor bagi LHDN menentukan sama ada wang tersebut merupakan pendapatan yang perlu dicukai atau sebaliknya.

"Tanggungjawab pembayar cukai ialah laporkan pendapatan dan ia bergantung kepada kategori tertentu yang mana komisen dan wang sewaan juga merupakan pendapatan.

"Kalau jumlah yang diterima banyak sehingga mencecah RM1 juta, ia perlu dilaporkan untuk pihak LHDN tentukan sama ada ia layak dikenakan cukai atau tidak. Jumlah cukai dikenakan bergantung kepada jumlah pendapatan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Rasyidah Murni Azmi pada perbicaraan kes Shahrir, yang berdepan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov 2013 kepada LHDN.

Saksi pendakwaan ke-21 itu berkata, Shahrir yang juga bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu, merupakan seorang pembayar cukai yang baik dan tidak pernah gagal menghantar borang taksiran cukai sejak 2004.

Pada 5 Okt lalu, Tuan Zulkfli memberitahu mahkamah bahawa Shahrir tidak pernah mengisytiharkan pendapatan melebihi RM1 juta, bagi tahun taksiran 2013 hingga 2018 kepada LHDN.

Katanya, Shahrir mengisytiharkan pendapatan pada 2013 (RM87,834), 2014 (RM128,104), 2015 (RM213,394), 2016 (RM189,545), 2017 (RM267,090) dan 2018 (RM193,191).

Kepada soalan TPR Mohd 'Afif Ali, Tuan Zulkfli berkata, tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan merupakan kesalahan berat dan memalukan, yang boleh menyebabkan maruah tercalar tanpa mengira sama ada individu itu Ahli Parlimen atau individu biasa.

"Tindakan individu untuk menipu pihak LHDN bergantung kepada niatnya dan apa yang difikirkannya ketika itu, sama ada dia tahu penerimaan wang itu dan perlu melaporkan kepada LHDN tetapi tidak berniat berbuat demikian. Jadi itu memang niat yang salah," katanya.

Shahrir, 72, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan, yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung esok. - BERNAMA